Malaysia Dateline

Anwar tolak guna Mercedes S600 yang dipesan sebelum jadi PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak untuk menggunakan sebuah Mercedes S600 yang telah dibeli oleh Jabatan Perdana Menteri sebelum beliau dilantik menjadi perdana menteri.

(GAMBAR ATAS: Kereta Mercedes-Benz S600 Guard yang kalis peluru, jenis kereta yang dipesan Jabatan Perdana Menteri sebelum ini)

“Langkah tersebut diambil kerana saya tidak mahukan sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atas saya,” kata Perdana Menteri ke 10 itu dalam satu kenyataan beliau malam tadi.

Sebaliknya, kata Anwar, beliau telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian.

Malaysia Dateline difahamkan, kereta baharu itu dipesan oleh kerajaan sebelum ini untuk kegunaan perdana menteri.

Kereta itu merupakan sebuah kereta kalis peluru dan harganya melebihi RM1 juta sebuah.

Bagi sesetengah pihak, tindakan Anwar menolak menggunakan kereta mewah ini dianggap sebagai wayang sahaja.

“Tapi bagi leadership, ini nama dia compounded effect yang akan beri warning kepada seluruh department dan agensi kerajaan bahawa optimization dalam perbelanjaan dapat memberi kesan langsung ke arah menambah bantuan kepada agenda pembaikan kehidupan rakyat,” kata seorang rakan Anwar dalam Facebook beliau, Mohd Dzuha Mat Saad.

Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 semalam (27 November) bersama jabatan dan agensi kerajaan bagi membincangkan isu kos sara hidup.

Semalam Anwar membuat mesyuarat pertama beliau selaku Perdana Menteri untuk menguruskan soal kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat negara ini.

Mesyuarat yang disertai oleh pegawai kerajaan dari pelbagai sektor itu bertujuan untuk melaksanakan janji nombor 1 dalam Tawaran Pakatan Harapan semasa kempen pilihan raya umum ke 15 baru-baru ini.

Mesyuarat semalam dibuat ketika kabinet kerajaan beliau masih belum dibentuk lagi.

BACA JUGA Luruh jantung tengok mak-mak merempit siap buat aksi Superman masa tunggang motor

JUGA Anwar laksana Manifesto No 1, kurangkan kos sara hidup