Apa ada dalam poket rakyat yang terjejas teruk? – Pakar anggap hal ini hilang dari radar TikTok Menteri Kewangan, ucaptama Gabenor

Oleh ARIF ATAN

Kemungkinan besar semua indikator ekonomi yang kedengaran ‘kayangan’ tidak dirasai pun oleh majoriti poket rakyat Malaysia.

Ahli ekonomi menyifatkan meskipun Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus senada bahawa negara tidak berhadapan dengan krisis tetapi rakyat masih dibelenggu dengan kepayahan hidup.

Ikuti tulisan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), PROF TAN SRI DR NOOR AZLAN GHAZALI yang antara lain mengingatkan bahawa ‘ehwal poket’ rakyat jangan tertinggal di sebalik laporan positif prestasi ekonomi negara:

Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali

Malaysia tidak berhadapan dengan krisis tetapi rakyat masih dibelenggu dengan kepayahan kehidupan. Lihat poket rakyat dalam Bajet 2023.

YB Menteri Kewangan (MK) dan Gabenor Bank Negara (Gabenor) senada – Malaysia tidak berhadapan dengan krisis ekonomi, ada tanda pemulihan ekonomi yang meyakinkan, dan Ringgit bukan petunjuk mutlak kedudukan ekonomi negara.

Sudah dua kali MK bertiktok mengenai hal ini dan Gabenor juga senada dalam ucaptamanya di Khazanah Megatrend baru-baru ini, rata-rata T20 yang hadir.

Bila saya bertanya melalui FB berkaitan hal ini – ‘Yang Anda Rasa?’ Umumnya, balasan yang saya terima adalah keluhan, tidak yakin ekonomi kita berada di landasan pemulihan.

Rakyat dan peniaga berasa hidup dan perniagaan sekarang lebih memeritkan. Rakyat dan perniaga bercakap mengenai kehidupan dan mata pencarian harian mereka yang terjejas.

Kos sara hidup yang membebankan.

Saya ahli ekonomi, saya faham petunjuk makro. Saya faham, setuju dan sahkan apa yang diutarakan oleh MK dan Gabenor.

KDNK meningkat tiga suku berturut-turut, eksport meningkat dengan tinggi susulan penyusutan Ringgit, jualan borong dan runcit meningkat, pengeluaran industri meningkat, jualan kereta melonjak, memang betul TETAPI ini BUKAN ekonomi rakyat di luar sama. Kemungkinan besar semua ini tidak dirasai oleh majoriti rakyat Malaysia.
Mengapa?

Berdasarkan bilangan pendaftaran perusahaan di Malaysia, 97% adalah mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan dominasi perusahaan mikro (kurang dari 5 pekerja), 70% dari keseluruhan perusahaan berdaftar.

Ditokok perniagaan tidak formal (tidak berdaftar), yang rata-rata mikro mungkin angka ini lebih besar. Sekitar 7 juta (66%) tenaga kerja Malaysia berkerja dengan PMKS.

Sekitar 1.26 juta rakyat terlibat dengan perniagaan tidak formal-jual nasi lemak dan kueh, gerai makan, berniaga kecil-kecilan.

Hanya 8.5% dari eksport negara disumbang oleh PMKS. PMKS umumnya tertumpu kepada perniagaan dalam negara dan banyak yang bersifat lokal-dalam kampung, di pekan dan daerah sendiri sahaja. PMKS menyumbang sekitar 38% dari KDNK.

Ramai pekerja tetapi sumbangan KDNKnya kecil berbanding perusahaan besar/korporat.

Rakyat berpendapatan rendah di bandar paling terasa peningkatan kos sara hidup.

Apa erti pada mereka bila KDNK dilapor meningkat 3 suku berturut-turut? Eksport meningkat dengan ketara? Pengeluaran industri meningkat? Jualan kereta melambung 600%?

Mungkin semua ini tiada makna. Ini laporan ‘kayangan’, laporan orang tak makan di gerai tepi jalan, laporan orang tak pergi pasar, kata mereka dalam lontaran balik kepada pertanyaan saya. Maaf. Itu kata mereka.

Sekian lama kita bercakap tentang kumpulan pendapatan rendah (B40 atau mid – M40 ke bawah). Berdasarkan Laporan Kajian Pendapatan Isirumah 2019 (sebelum Covid-19 melanda) hampir 50% dari isirumah Malaysia mempunyai pendapatan dalam kategori rentan, sangat mudah terjejas.

Lebih terperinci, dalam 9 buah negeri, lebih daripada 50% isirumah berpendatan rentan, mudah terjejas. Ukuran kerentanan perlu diberi perhatian. Mereka bekerja, ada pendapatan tetapi, mudah cerita kehidupan mereka sempit, tidak selesa, payah.

Pandemik Covid-19 telah menyebabkan kejatuhan pendapatan sekitar 3.1 juta isi rumah, 41% dari jumlah isirumah Malaysia 7.6 juta. Laporan anggaran Kajian Pendapatan Isirumah 2020 melaporkan 9 buah negeri mengalami kejatuhan pendapatan isi rumah lebih dari kejatuhan pendapatan Malaysia (kejatuhan 11.3%).

Untuk kumpulan berpendapatan rendah yang terjejas teruk ini – apa erti ekonomi semakin pulih, berada di landasan yang kukuh?

Bukan KDNK, bukan eksport, bukan jualan kereta, bukan pengeluaran industri, tetapi apa yang ada dalam poket mereka!

Kemajuan ekonomi matlamat akhirnya mesti jelas, untuk kesejahteraan kehidupan rakyat. Ini hilang dari radar tiktok MK dan ucaptama Gabenor.

MK dan Gabenor tidak salah, melapor prestasi ekonomi negara, tetapi ‘ehwal poket’ rakyat tertinggal. Maka, kayanganlah dengarnya. Pada rakyat, ini bukan cerita aku. Terpinggir, mungkin itu yang mereka rasa.

Kadar pengangguran yang semakin menurun,(3.7%) dan kadar inflasi yang terkawal (4.4%) juga dipetik oleh MK dan Gabenor. Tanda ekonomi semakin pulih. Rakyat lebih senang, selesa?

Cabaran pekerjaan di Malaysia bukan ‘pengangguran’ secara mutlak. Bukan tidak ada kerja. Sebelum dilanda Covid-19, ketika kadar pengangguran rendah (sekitar 3%), keluhan berkaitan pekerjaan telah kita dengar.

Apatah lagi, berikutan penutupan hampir semua sektor ekonomi dan PKP yang menghadkan pergerakan semasa krisis Covid-19, pengangguran mendadak naik, tertinggi 5.3% pada Mei 2020, 826,000 orang menganggur.

Kadar pengangguran turun, masalah selesai? Kita seolah-olah lupa dengan permasalahan sebenar, iaitu kita ketandusan pekerjaan berkualiti – penciptaan pekerjaan yang berkualiti sangat rendah, kadar upah/gaji rendah, tidak setimpal dengan masa dan kelulusan, agihan pekerja-majikan kelihatan tidak sksama, lambakan pekerja asing tanpa kemahiran yang tinggi mengasak keluar (crowd-out) pekerja tempatan dalam ketegori yang sama, umumnya kumpulan berpendapatan rendah yang rendah kelayakan mereka.

Untuk tahun 2020 hanya 25,000 pekerjaan mahir baharu yang dicipta. Tahun yang sama seramai 223,000 graduan dilahirkan.

Seramai 1.36 juta tenaga kerja lulusan berijazah adalah ‘under employed’, pekerjaan dan gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan mereka. Terkini, jumlah ini mencecah 1.8 juta. Mereka bekerja, kadar pengangguran kelihatan menurun, tetapi mereka resah, terasa tidak berbaloi.

Memedihkan hati dan perasaan bukan sahaja graduan malah ibu bapa juga. Isu graduan menganggur sudah lama (sejak 2006, seingatan saya), dibincang. Jumlah ini semakin meningkat setiap tahun. Mungkin kerisauan #1 dalam kalangan siswazah dan ibu bapa.

Lebih malang kalau rakyat menyimpulkan, apa guna masuk universiti. Kerajaan pulak melaung TVET tanpa henti. Masalah sebenar? Siapa tangani?

Tak perlulah sangat menyalahkan graduan dan institusi pendidikan tinggi. Graduan IPT Malaysia pada saya secara purata OK, lebih kurang sama saja dengan graduan dahulu.

Mereka bukanlah graduan universiti terkemuka dunia, boleh bekerja dengan baik dan sedia menimba pengalaman. Ekonomi kita tidak mampu mencipta pekerjaan yang berkualiti – tangani masalah ini.

Inflasi terkawal, hidup lebih selesa? Inflasi keseluruhan negara pada Julai yang lepas adalah 4.4%. Hakikatnya, kita tidaklah berhadapan dengan kadar inflasi yang tinggi seperti di Amerika Syarikat (8.3%) dan UK (9.9%).

Yang tinggi adalah kos sara hidup, khususnya sangat terasa bagi kumpulan pendapatan rendah terutama yang tinggal di bandar.

B40 membelanjakan sekitar 37% pendapatan untuk makanan dan inflasi makanan hampir dua kali ganda iaitu 6.9%. Dengan pendapatan yang rendah dan rentan, kualiti hidup mereka terjejas.

Dalam semangat Keluarga Malaysia, kesejahteraan ‘ahli keluarga’ menjadi matlamat utama. Petunjuk ekonomi makro tidak cukup buat rakyat.

Mereka ingin ‘merasa’ pemulihan ekonomi. Moga dirancang untuk Bajet 2023 langkah yang bukan saja membantu, tetapi juga ke arah menyelesaikan masalah.

Baca juga Jangkaan ekonomi meleset dan Bajet 2023 – Pakar ini takut Malaysia jadi ‘kesan burung unta’

Baca juga Lelaki guna agama untuk kahwin dua, tapi duit minta dekat isteri dan adik beradik