Banyak perubahan yang memeranjatkan berlaku di Arab Saudi sejak Visi 2030 dilancarkan pada 25 April 2016.
Ketika umat Islam sedang menunaikan ibadat haji, pesta besar-besaran selama dua bulan dipanggil Jeddah Season termasuk konsert hiburan dari artis antarabangsa rancak berlangsung.
Sekarang, Arab Saudi yang mempunyai dua buah masjid paling suci untuk penduduk Islam iaitu Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah tidak seperti dahulu.
Perubahan demi perubahan dilakukan oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang didukung oleh Putera Mahkota Mohammed Salman Al-Saud.
Berikut sedutan transkrip ceramah pengkaji DR MAT ROFA ISMAIL yang menasihatkan agar jemaah haji dari Malaysia tidak terkejut dengan keadaan bumi kelahiran utusan Allah yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW itu sekarang:
Makkah hari ini bukanlah Makkah yang dulu. Makkah dulu sederhana, lebih-lebih lagi ketika di bawah Uthmaniyyah.
Mereka tidak membina bangunan yang tinggi sebab untuk meraikan orang miskin. Orang miskin hari ini tidak dapat tinggal di kawasan ini sebab hotel-hotel bertaraf lima, enam bintang untuk golongan VVIP bukan untuk marhaen.
Hotel-hotel yang kecil sudah berada di luar dari kawasan ini. Barangkali dalam tempoh 30 tahun akan datang, apakah nilai wang yang perlu dikeluarkan untuk menunaikan haji? Tentulah sebahagian besar umat Islam yang miskin tidak dapat melakukannya.
Itulah hikmahnya kerajaan terdahulu tidak melakukan ini (pembangunan hotel lima, enam bintang).
Sekarang di bawah Visi 2030, pemerintah Arab Saudi mahu menjadikan negaranya semaju negara Barat. Mereka ingin menjadikan Makkah dan Madinah sebagai bandar pintar.
Mereka harus mengorbankan beberapa perkara yang sangat mendukacitakan. Mereka mengorbankan tempat-tempat bersejarah termasuk Jabal Qubais. Kawasan bukit ini ada perigi yang Rasulullah datangi ketika ibdat haji terakhir Baginda.
Di sini dulunya ada perigi. Sekarang telah diratakan untuk tujuan pembesaran masjid. Peristiwa bulan terbelah juga berlaku di sini.
Namun, tempat-tempat bersejarah ini telah dimusnahkan demi pembangunan walhal telah dipelihara ribuan tahun.
Salah satu punca air zamzam datang dari kawasan ini. Ahli geologi menyatakan salah satu punca air zamzam itu sekarang telah tersekat.
Inilah yang membimbangkan – pembangunan harus mengorbankan tempat-tempat bersejarah. Itulah dasar yang dilakukan kerajaan Arab Saudi sekarang.
Bukit-bukit yang ada kaitan dengan Rasulullah telah diratakan demi untuk membesarkan Masjidil Haram. Inilah peta akhir mereka. Bukit menjadi teres untuk menampung pertambahan jemaah haji.
Kalau dulu datang ke Makkah pandanglah ke Kaabah dari jauh, walaupun ada bangunan di sekitarnya, bangunan Kaabah lebih tinggi yang diadakan oleh kerajaan Uthmaniyyah
Tetapi sekarang kita sampai Makkah, kita tidak dapat melihat lagi Kaabah dari jauh. Yang kita dapat lihat ialah puncak (menara) jam.
Kita hanya nampak bangunan yang tinggi yang kebanyakannya bangunan Yahudi. Hotel-hotel Yahudi didirikan di situ. Bahkan hotel yang paling dekat dengan masjid ialah Hotel Hilton yang didaftarkan di Amerika dan dimiliki oleh saudagar-saudagar Yahudi.
Bagaimanakah Makkah sudah ditawan Yahudi sampai hari ini? Makkah sudah jadi seolah-olah bandar New York, London dan Paris.
Kita ke Makkah untuk menunaikan haji tapi ada yang pergi sebagai destinasi membeli-belah berbeza dengan dahulu.
Bagi yang datang dengan pakej VVIP, mereka duduk di hotel yang sangat tinggi dan dari bilik mereka dapat lihat Kaabah.
Mereka memiliki makanan yang sangat menyelerakan. Bandingkan dengan makanan yang dihidang di khemah golongan marhaen.
Inilah antara dua darjat. Makkah tidak merapatkan jurang antara darjat ini tetapi dilebarkan. Hari ini, hotel-hotel kecil sudah tidak ada lagi. Hotel-hotel orang Melayu Pattani telah dihilangkan. Kalau dulu, di situlah tempat yang murah kita boleh tinggal.
Sekarang, sudah tidak ada lagi. Kita jangkakan dalam tempoh 20, 30 tahun akan datang, Makkah untuk golongan yang elit bukan lagi untuk marhaen.
Simbol ekonomi dijajah
Itulah Visi 2030. Di Makkah, jangan hairan kita akan temui Starbucks yang merupakan simbol ekonomi dijajah oleh Yahudi.
Di tepi Hotel Hilton ada ‘makhluk’ Starbucks yang ditulis dalam bahasa Arab tetapi masih Yahudi. Simbol Yahudi menguasai Makkah dapat disaksikan hari ini. Bagaimana Yahudi menguasai Makkah dan Madinah?
Hotel-hotel adalah milik mereka. Di Madinah, hotel-hotel yang dekat dengan Masjid Nabawi juga adalah hotel-hotel mereka (Yahudi).
Orang Arab juga suka McDonalds. Yahudi telah masuk ke jantung umat Islam. Walaupun di Malaysia, francaisnya dikuasai oleh orang Melayu, tetapi syarikat asal dipunyai oleh mereka.
Jangan terperanjat jika bertolak ke Makkah, dan singgah di Lapangan Terbang Jeddah, mereka sedang melancarkan Visi 2030.
Mereka menjadikan bulan Mei dan Jun ini sebagai pesta besar-besaran. Barangkali apabila singgah di Jeddah, tuan-tuan akan melihat perkara yang tidak pernah dilihat di kota Makkah. Pesta yang besar akan dilakukan dalam bulan ini.
Di Masjid Nabawi, sekarang ini sebahagian pengawalnya wanita sebab mereka sedang berjuang hak lelaki dan perempuan adalah sama sedangkan Allah isytiharkan lelaki tidak sama dengan wanita.
Di bawah Visi 2030, kerajaan Arab Saudi mahu ‘membebaskan’ wanita-wanitanya. Buat pertama kali pengawal-pengawal di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi diganti dengan wanita.
Barangkali ia lebih lembut berbanding pengawal lelaki yang menghalau jemaah lelaki dengan bahasa kasar. Mereka tidak diajar untuk berakhlak.
Walau bagaimanapun, sekarang dengan adanya pengawal wanita, wanita menguasai masjid. Putera Mahkotanya bercita-cita menjadikan Makkah dan Madinah kota yang maju.
Selama ini kalau ke Makkah tidak boleh tanpa mahram tetapi sekarang boleh bersalam antara mahram dengan bukan mahram.
Wanita telah diberikan kebebasan untuk memandu. Sebelum ini tidak dibenarkan. Jangan kita terperanjat. Inilah bahana Visi 2030 apabila Saudi mahu menjadi negara maju setaraf Eropah.
Wanitanya telah dibenarkan untuk menonton perlawanan bola sepak tanpa mahram lagi. Buat pertama kali wanita datang stadium. Tidak pernah berlaku selama 1,000 tahun lebih ini. Namun, tahun ini telah mengubah segala-galanya.
Berpanas 18 jam
Sengaja bulan Mei dan Jun dipilih sebagai bulan pesta. Jemaah haji yang sampai di Jeddah akan menyaksikan perkara yang tidak pernah disaksikan.
Bulan Mei lepas, pesta dilakukan di lapangan terbang menyebabkan jemaah umrah dan haji tidak dapat masuk ke lapangan terbang dan dibiarkan berpanas selama 18 jam.
Masjid terapung di Jeddah itu sekarang mereka berpesta, menjadi tempat Berpan bulan ini ketika umat Islam berangkat ke Padang Arafah.
Tahun lepas pun, pesta sama diadakan tetapi jemaah Malaysia tidak ada kerana kekangan Covid-19. Mereka adakan pesta sepanjang Mei dan Jun selama 60 hari siang dan malam tidak berhenti supaya pelancong datang beramai-ramai.
Di tepi Madinah telah dibina sebuah kota yang baru terbuka kepada orang Islam dan bukan Islam. Kalau ke Madinah, jangan terperanjat temui orang bukan Islam di luar kota Madinah. Tuan-tuan telah melihat kemajuan yang dicapai menerusi Visi 2030.
Apakah pesta 60 hari di Jeddah tanpa henti itu? Pesta bunga api setiap malam, persembahan K-Pop, persembahan sarkas buat pertama kali di bumi Arab Saudi. Ada rumah hantu, konsert oleh artis Arab dan antarabangsa.
Pesta besar-besaran dibuat di Jeddah supaya jemaah haji dapat menyaksikan sebelum datang ke Makkah atau Madinah. Mereka dapat melihat pesta lebih awal. Itulah barangkali tujuannya.
Makkah sekarang bukan Makkah yang lama. Kita sambut raya 2 Mei. Alhamdulillah. Mereka adakan pesta besar-besaran 2 Mei menyambut Hari Raya di Jeddah.
Pakaian mereka ketika itu bukan pakaian orang Islam. Masya-Allah. Tuan-tuan yang berangkat ke Makkah melalui Jeddah jangan terperanjat apabila melihat pesta yang sedang berlangsung di Jeddah sekarang ini.
Kelab malam telah bermula di Jeddah. Mereka mengatakan kelab malam halal tetapi ada video yang diterima, mereka edarkan botol arak secara percuma.
Makkah telah kembali kepada jahiliah sebelum kedatangan Islam. Mereka telah adakan pesta besar-besaran. Percampuran lelaki dan perempuan dibenarkan demi memajukan bumi Arab seperti Amerika dan negara Eropah.
Ketika kita dilanda Covid-19, mereka mengadakan pesta seperti itu. Tidak ada penjarakkan fizikal lagi. Di tepi pantai, mereka telah mula berpakaian separuh terbuka.
Jangan hairan kalau berhenti di masjid terapung Jeddah, kita akan lihat pemandangan seperti ini. Inilah Visi 2030 yang sedang menjelma.
Di tengah padang pasir, kawasan kaum Nabi Soleh dimusnahkan, mereka bina pesta besar-besaran iaitu bangunan daripada kaca piramid terbesar di dunia. Di dalamnya sejuk.
Mereka ingin mengulang kembali sejarah agung Firaun. Tahun lepas mereka mengadakan pesta di sini ketika umat Islam menuju ke Padang Arafah.
Hotel yang dibuka di kawasan kaum Nabi Soleh yang dimusnahkan sudah membenarkan pelancong bukan mahram berkongsi bilik.
Kalau dulu di Makkah kita mesti ada mahram tetapi sekarang berlaku perkara yang sangat di luar dugaan sehingga memeranjatkan seluruh dunia.
Mulai tahun lepas juga Arab Saudi telah membuang papan tanda laluan Muslim. Maksudnya, orang bukan Islam boleh masuk Madinah dengan bebas.
Tetapi saya difahamkan Masjid Nabawi masih diharamkan untuk orang bukan Islam tetapi Kota Madinah telah dibenarkan.
Mereka adakan hiburan besar-besaran pada Hari Raya lepas. Riyadh telah mengadakan pesta besar-besaran menyambut jemaah haji kita. Mereka turut menjemput penyanyi Amerika, Lionel Richie.
Ulama bantah ditangkap
Pada bulan itu, iaitu 5 Mac, Masjid Al-Aqsa telah diserang bertubi-tubi oleh Yahudi. Mereka sedang berpesta di Riyadh. Mereka tidak peduli sama sekali.
Ketika Gaza dibom oleh Yahudi, mereka sedang berpesta. Apakah yang kita boleh harapkan pada mereka?
Mereka di Riyadh juga mengadakan pesta makanan besar-besaran ketika umat Islam di Yaman sedang kelaparan disebabkan peperangan dengan Amerika bersama Arab Saudi menyerang Yaman yang paling miskin.
Mereka juga bawa penghibur Hindustan ke Jeddah. Salman Khan telah diberi pingat besar di Arab Saudi Disember tahun lepas.
Kita lihat orang Arab dengan jubahnya sedang menari dengan wanita ketika pesta itu. Mereka sedang berpesta. Aurat tidak lagi dijaga. Sebelum ini, wanita-wanita Arab tidak dapat dilihat wajahnya. Inilah suasana Arab sekarang ini. Jika sampai ke Jeddah, jangan terkejut melihat pemudi-pemudi Arab seperti ini.
Sejak zaman Rasulullah, mereka menutup wajah mereka tetapi sekarang mereka telah membuka sebuka-bukanya. Inilah Visi 2030 Arab kembali jahiliah. Sebelum Nabi Muhammad diutuskan, bumi Arab adalah bumi jahiliah. Sekarang telah kembali jahiliah.
Ulama mereka yang berpihak kepada pemerintah mengatakan tiada salah untuk bercampur lelaki perempuan dan mendengar muzik.
Ulama yang menentang pesta sekarang ditangkap. Ulama akan dipenjara. Antaranya, Omar Abdullah al-Saadoun. Namun bukan seorang ulama yang ditangkap.
Ramai ulama besar Saudi dipenjara kerana membantah apa yang telah berlaku sekarang dengan apa yang mereka panggil Visi 2030.
Ini satu visi yang sangat-sangat menakutkan. Orang Syiah yang dikatakan terkeluar dari Islam seperti dikatakan Saudi pun mengatakan Saudi sekarang jahiliah.
Pesta liar berlaku di Arab Saudi. Penulis Mesir yang tidak pernah menutup rambutnya pun mengatakan Arab Saudi telah kembali kepada jahiliah. Dia pun mengatakan Saudi jahiliah apa lagi orang beriman.
Mereka telah mula merayakan Hari Krismas tahun lepas yang tidak pernah dirayakan di bumi Rasullullah kerana ia ada kaitan dengan agama.
LANJUT MENYUSUL
Baca juga Salji turun di Arab Saudi
Baca juga PDRM buka kertas siasatan sebab orang ramai mengadu dapat mi segera perisa babi lepas derma darah