Malaysia Dateline

Asyraf Wajdi beri amaran pada PN jangan ugut PM, ‘kalau nak tekan butang boleh tekan sekarang’

Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memberi amaran kepada Perikatan Nasional (PN) agar tidak mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya untuk mendapatkan jawatan paling kanan dalam Kabinet kerajaan.

Beliau dalam kemaskini hantaran di Facebook, turut mencabar PN untuk menekan ‘butang’ jika mereka mahu.

“Tak perlulah mengugut Perdana Menteri untuk mendapatkan juga jawatan TPM dan menteri lain!

“Kalau nak tekan ‘button’, tekanlah sekarang.

“Kenapa takut sangat nak hadapi PRU15? Biarlah rakyat tentukan secara mutlak siapakah selayaknya untuk diberikan mandat yang akan menentukan lakaran masa depan kestabilan negara dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa gabungan itu kecewa dengan tindakan Ismail Sabri yang tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN.

Hamzah juga memberitahu PN telah memutuskan untuk menghantar delegasi menemui Ismail bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa terdekat.

Sementara itu Asyraf berkata, selagi ugut-mengugut dan tekanan demi tekanan diberikan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan tanpa mandat rakyat, selagi itulah tiada jaminan kestabilan dapat dicapai sekaligus menghakis keyakinan pelabur untuk melabur bagi memulihkan ekonomi dan inflasi yang dihadapi rakyat ketika ini.

Baca juga: Hero tidak didendang, rider bantu kawal lalu lintas ketika KL ‘blackout’ jadi perhatian

Baca juga: Harga minuman di restoran mahal, netizen kongsi tips dapat tiga gelas air buah dengan satu harga

Baca juga: Thor: Love And Thunder tidak akan ditayangkan di Malaysia