Krisis ekonomi dunia yang diramal tahun depan dilihat mulai menampakkan impaknya pada masa ini apabila rakyat di United Kingdom (UK) terpaksa potong kayu sendiri untuk menghangatkan rumah dan berarak protes mega di jalan raya.
Tindakan mereka itu susulan peningkatan mendadak harga gas dan bahan api dengan syarikat Toolsation yang memiliki 500 rangkaian kedai di seluruh UK mengumumkan jualan gergaji naik sebanyak satu pertiga dalam beberapa minggu mutahir ini.
Lapor Daily Mail, jurucakap syarikat itu yakin lonjakan permintaan itu kerana pelanggan mahu menggunakan gergaji untuk memotong kayu dan dijadikan sebagai bahan bakar di rumah.
Trend itu ketara apabila pengguna cuba mengurangkan impak bil pemanasan di rumah yang semakin bertambah.
Ekoran kenaikan harga gas dan bahan api menjelang musim sejuk tahun ini juga, ribuan penduduk di bandar seluruh United Kingdom (UK) berarak di jalan raya mengadakan protes mega.
Mereka membantah kenaikan tarif elektrik dan gas dengan melaungkan slogan ‘cukup-cukuplah’ ketika kenaikan tarif elektrik dikuatkuasakan, lapor BBC.
Beberapa bandar utama termasuk Birmingham, Glasgow dan Belfast menjadi tumpuan demonstrasi rakyat yang juga disertai persatuan berkaitan minyak dan badan revolusi seperti Extinction Rebellion (XR) dan Kumpulan Komunis Revolusi (RCG).
Harga gas dan elektrik domestik melambung sebanyak 80 peratus berbanding musim sejuk tahun lalu, walaupun kos itu ditampung sebahagiannya oleh kerajaan.
Bermula kelmarin juga, badan pemantau UK, Ofgem memberitahu bil tenaga mengalami peningkatan harga sebanyak 3,549 pound (RM16,400).
Ogos lalu, Bank of England mengingatkan bahawa UK bakal berdepan kemelesetan ekonomi sepanjang tahun bermula penghujung tahun ini.
Situasi tersebut dikatakan menjadi tempoh paling panjang sejak krisis kewangan melanda negara itu pada 2008.
Kadar inflasi dijangka mencanak sehingga lebih 13 peratus susulan kenaikan harga gas dan bahan api menjelang musim sejuk tahun ini.
Bank of England turut memaklumkan kadar faedah bank dinaikkan daripada 0.5 hingga 1.75 peratus, iaitu yang tertinggi sejak 1997.
Dalam masa sama, bank itu juga meramalkan terdapat kemungkinan UK mencatatkan pertumbuhan sifar atau terlalu sedikit sehingga selepas 2025, lapor Daily Mail.
Sementara itu, Gabenor Bank of England, Andrew Bailey dipetik berkata, Indeks Inflasi Harga Pengguna bakal mencecah 13 peratus pada Oktober ini, yang tertinggi dalam tempoh lebih 42 tahun.
Serentak itu juga, kadar mata wang pound jatuh 0.05 peratus lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat selepas Bank of England mengesahkan kenaikan kadar faedah.
Baca juga Sungai Furat makin kering, ini nasihat ustaz supaya kita bersedia
Baca juga Dera kanak-kanak sampai maut, jurujual dan pembantu rumah ditahan