Malaysia Dateline

‘Ayah pun 12 tahun menganggur, buat apa saya kerja?’ – Remaja ini anggap ramai saja orang suka tolong

Pengakuan remaja ini untuk hidup menganggur mungkin menyebabkan golongan pekerja yang ada keluar dari rumah sebelum muncul matahari lagi akan diserbu rasa ‘cemburu’.

Dikenali sebagai Syafiq, 21, anak sulung berkenaan, dilapor Kosmo! tidak bersekolah dari kecil.

Menurutnya, ayah dia sendiri yang berusia 48 tahun sudah 12 tahun tidak bekerja selepas menjual motosikal.

Namun, katanya yang juga mempunyai dua orang adik, mereka sekeluarga masih boleh meneruskan kehidupan atas bantuan orang ramai.

“Keluarga kami ada dapat bantuan Baitulmal untuk sewa rumah dan bantuan zakat untuk dijadikan wang perbelanjaan bil air dan api serta beberapa barangan keperluan lain.

“Kami sekeluarga memang tak ada apa-apa kenderaan. Apapun, kami masih mampu hidup dengan baik sebab ramai bantu,” lapor Kosmo! hari ini.

Syafiq juga tidak kisah mengenai soal kerja kerana bapanya mampu menampung keluarga tanpa perlu bersusah payah membuat kerja di luar.

“Zaman sekarang ramai orang suka tolong, pagi sampai malam ada orang bagi makan, jadi ibu tak payah masak, barang dapur pun tak payah beli, buat apa nak kerja dan terikat dengan majikan,” tambahnya lagi.

Syafiq dan ayahnya antara ratusan mungkin ribuan golongan gelandangan di ibu negara yang selesa menganggur selepas menerima pelbagai bantuan secara percuma termasuk tempat tinggal, makanan dan pakaian.

Individu dewasa yang digelar sebagai ‘Mat Berat’ oleh komuniti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini dilihat ‘berat’ untuk berhijrah memperbaiki kualiti hidup dengan bekerja.

Mereka termasuk yang mempunyai rumah tetapi bergantung kepada ihsan orang lain dianggap hanya ‘goyang kaki’ menunggu bantuan.

Ada antaranya datang tidur di pusat transit gelandangan dengan disediakan makanan secara percuma pada tengah hari dan petang.

Sementara menanti malam tiba, mereka hanya lepak di mana-mana lokasi dengan dibimbangi hidup ‘selesa’ bergelar gelandangan tanpa berusaha mengubah kehidupan.

Baca juga ‘Kalau aku meja tu tinggal separuh dah, separuh lagi dalam perut’

Baca juga Bukan sekadar kucing, ‘Soleh’ turut mendapat kad pekerja dan dilantik sebagai penjawat awam!