Malaysia Dateline

‘Kalau aku meja tu tinggal separuh dah, separuh lagi dalam perut’

Ada servis di sesetengah kedai makan agak teruk membuatkan pelanggan lama ‘bersidai’ menantikan makanan yang dipesan sampai di meja.

Namun, pengalaman seorang pemuda ini menunggu selama lebih dua jam di sebuah ‘kedai makan viral’ di Kuantan, Pahang menarik perhatian warga maya.

Rata-rata berpendapat pihak kedai makan seharusnya awal-awal lagi memaklumkan kepada pelanggan bahawa makanan lambat siap.

Dalam masa sama, pelanggan juga dinasihatkan supaya segera saja beredar jika selepas sejam pun makanan yang dipesan tidak sampai lagi.

“Kalau aku meja tu tinggal separuh dah, separuh lagi dalam perut.

“Sabar betul! Aku 30 minit gerak dah!” antara komentar warga maya.

Menerusi rakaman video tersebut, pemuda berkenaan mengaku dia dan rakannya datang ke kedai makan viral itu sebab terpengaruh dengan pempengaruh TikTok.

“Katanya nasi goreng daging Australia paling sedap dekat Kuantan ni.

“Terpengaruh aku ni. Lepas tu bila pergi, dah sampai dekat situ, dia cakap mungkin lambat sikit order.

“45 minit atau sejam macam itu dia cakap kena tunggu,” kata pemuda berkenaan mengimbas semula kejadian tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai menasihatkan mana-mana pemilik kedai makan supaya tidak tamak dengan mengambil pesanan pelanggan terlalu banyak tetapi tidak mampu menyiapkan makanan dalam tempoh yang sewajarnya.

Peniaga juga diingatkan supaya peka dengan khalayak pelanggan mereka yang sedang menunggu di meja makan.

“Tak kisah lambat atau cepat, asalkan kau (peniaga) cakaplah makanan lambat sampai. Jadi, pelanggan bolehlah nak terima atau tak,” kata netizen.

Selain itu, ada juga yang memberitahu mereka hanya pergi ke kedai makan viral selepas fenomena tular membabitkan kedai itu sedikit reda.

Baca juga Luruh jantung tengok mak-mak merempit siap buat aksi Superman masa tunggang motor

Baca juga Acah Gordon Ramsay, netizen berang lihat Sheila Rusly tengking peserta masakan