Datuk Seri Mohamed Azmin bakal ‘bungkus’ di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Mengikut kajian Institut Darul Ehsan (IDE), Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dijangka kecundang untuk mempertahankan kawasan yang disandangnya sejak tiga penggal.
Ini bermakna mantan Timbalan Presiden PKR berkenaan tersungkur di hadapan anak didiknya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Ramalan itu hasil kajian membabitkan responden daripada 47 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen itu pada 10 hingga 12 November lalu.
Pengerusi Eksekutif IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata sebanyak 52.5 peratus responden akan mengundi gabungan parti Pakatan Harapan (PH) manakala hanya 21.9 peratus memilih PN.
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) cuma memperoleh 13.8 peratus sokongan, manakala pengundi atas pagar 11.6 peratus.
Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri memutuskan keluar PKR pada Februari 2020 bersama 10 Ahli Parlimen lain dari parti itu, sekali gus turut menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PH.
Baca juga PRU-15: “Saya akan buat ucapan penutup bagi seluruh negara di Tambun” – Anwar