Seorang gadis Melayu yang dilihat selamba meredah hutan belukar untuk mencari kayu api dan memasak guna dapur kayu tampil menangkis tanggapan segelintir pihak kononnya beliau sekadar mahu membuat ‘content’.
“Saya kongsi kehidupan saya bahagia makan makanan dari dapur kayu. Sebelum adanya Youtube pun saya memang cari kayu masuk hutan,” tulisnya di salurannya, Rozek TV.
Terdahulu, beberapa individu meninggalkan komentar yang dilihat tidak membina seperti majoriti lain yang memuji Rozana Mohaman Hamidi, 23.
“Demi content semua sanggup.
“Content je pun.
“Dah abad ke-21, memanglah tiada siapa nak masuk hutan cari kayu api. Masuk-masuk kang cari penyakit je,” demikian antara kata pihak yang mungkin pesimis dengan kesungguhan Rozana atau mesra disapa Rozek mencari kayu api di kebun getah.
Terdahulu, menerusi video, “Selama ni saya tak tunjuk kerja ni“, Rozek yang berasal dari Batu Kurau, Perak berkongsikan aktivitinya meredah belukar di kebun getah untuk mencari kayu mati.
Berpakaian lengkap bertopi dan berkasut kebun ala Phua Chu Kang, beliau membaca Bismillahirrahmanirrahim terlebih dahulu sebelum menebang pokok dengan cara menggergaji.
“Rozek selalu pakai kayu daripada pokok getah sebab api dia tahan lama.
“Dah sampai seberang sungai, baru potong (kayu) pendek-pendek,” katanya.
Gadis yang turut dilabel warganet sebagai ‘Perempuan Melayu Terakhir’ itu juga mengenali tumbuhan yang boleh dibuat masakan.
“Ini kulat, kalau buat masak lemak ni, sedap tapi tak banyak,” katanya sambil menunjukkan koloni sejenis kulat kecil berwarna putih di kayu getah yang dipotongnya.
Beliau juga menggergaji pokok getah yang agak besar dan sudah mati sehingga tumbang sebelum memikul batang kayu yang tumbang itu untuk dibawa berdekatan sungai.
“Memang penat sikit tapi berbaloilah. Satu pokok, Rozek boleh masak antara 15 hingga 20 resepi untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat semua,” katanya.
Selepas menurunkan batang kayu getah yang dipikulnya, beliau selepas itu menggergaji lagi menjadi potongan kayu api yang lebih kecil agar mudah dibawa dengan kereta sorong.
“Mengergaji senang, yang susah tu, tebang pokok,” ujarnya spontan sambil meneruskan usahanya mengergaji.
Aksi Rozek yang dilihat bersahaja ketika melalui titian kayu selain berhadapan dengan serangan pacat mengundang kekaguman orang ramai termasuk mereka yang pernah menempuhnya ketika zaman kanak-kanak dan remaja di kampung.
“Kat hutan ni memang tak larilah dari pacat,” kata Rozek lagi dengan bersahaja.
Baca juga ‘Gatal’ buat gangguan seksual, lelaki tular akhirnya ditangkap
Baca juga Kasih seorang adik, sanggup kumpul duit 12 tahun untuk lihat abangnya kahwin