Baki wang di Maybank ‘kosong’, warganet kecoh urusan tergendala

Oleh ARIF ATAN

Pengguna akaun bank Malayan Banking Bhd (Maybank) pagi tadi kecoh apabila baki wang simpanan mereka tiba-tiba kosong menyebabkan banyak urusan mereka tergendala.

Warganet berkongsikan tangkap layar menunjukkan wang mereka yang ‘lesap’.

Dalam masa sama, media sosial rasmi Maybank dihujani serangan oleh pengguna yang gagal melakukan transaksi secara dalam talian atau di kaunter pembayaran.

“Baki akaun 0 ni Maybank. Kembalikan amaun yang sebenar,” pengguna Facebook AmaLina Norizan.

Masalah dialami aplikasi Maybank menjelang Hari Raya Aidilfitri ini juga dilihat menganggu urusan orang ramai untuk membeli kelengkapan bagi sambutan perayaan itu.

“Orang nak raya ni. Baki 0.00. Orang tak dapat shopping raya lagi duit dah hilang,” ciap Fatiha Kamaruddin di Twitter.

Sementara itu, Maybank menerusi media sosial rasminya, berkata terdapat gangguan sementara bagi kemudahan aplikasi MAE, aplikasi M2U MY dan web Maybank2u.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.

“Terima kasih atas kesabaran dan pemahaman anda,” kata kenyataan Maybank hari ini.

Tangkap layar akaun pengguna Maybank hari ini.

Baca Ahli Parlimen Lumut nafi minta wang