Banjir dahsyat landa Pakistan-Wanita muslim terancam kerana ketiadaan tandas

Oleh NASUHA RAHMAN

Pakistan kini menghadapi malapetaka besar apabila 1/3 negaranya ditenggelami banjir menyebabkan rakyat negara itu berada dalam keadaan sangat mendesak.

Menurut AFP, puluhan juta penduduk di Pakistan telah meninggalkan rumah masing-masing dan berpindah di pusat pemindahan sementara yang disediakan oleh kerajaan atau khemah yang didirikan sendiri di kawasan selamat.

Hanya di wilayah Punjab satu-satunya kawasan tanah kering yang terdapat di kawasan itu dan masih selamat daripada banjir.

Di situlah menempatkan sebahagian kecil penduduk tempatan yang terjejas akibat banjir dahsyat di mana satu pertiga daripada negara itu dilaporkan tenggelam.

Banjir dahsyat landa Pakistan-Wanita muslim terancam kerana ketiadaan tandas

Puluhan khemah di pasang di kawasan sekitar stesen kereta api yang terdapat di kawasan luar bandar.

Banjir yang dilaporkan paling teruk pernah berlaku itu telah menenggelami sebahagian besar kawasan negara itu, bersamaan dengan luas United Kingdom, dan menjejaskan sekitar 33 juta penduduk Pakistan.

Susulan munculnya khemah-khemah sementara yang padat untuk menempatkan mangsa banjir menyebabkan bau kurang menyenangkan menyelubungi kem-kem sementara yang dibina.

Bau busuk itu dipercayai berpunca dari tumbuh-tumbuhan yang reput akibat ditenggelami air, sisa makanan, sampah sarap serta najis yang terkumpul disebabkan oleh banjir tempoh hari.

Penduduk Pakistan yang rata-rata beragama Islam menyifatkan tempat berkenaan satu-satunya kawasan selamat walaupun ia tidak sesuai untuk mereka membersihkan diri dan melepaskan hajat tersedia ketika ini.

Kawasan luar bandar di Pakistan merupakan tempat tinggal komuniti Islam konservatif negara itu.

Namun, keadaan banjir ketika ini menyebabkan ramai wanita terpaksa berpindah dan tinggal bersama-sama kumpulan lelaki yang tidak ada pertalian darah buat pertama kali dalam hidup mereka.

“Dulu kami tinggal di belakang tabir dan sekarang semua telah lenyap,” jelas Zebunnisa salah seorang mangsa.

Difahamkan, dia rasa sangat malu kerana terpaksa melakukan hal-hal peribadi secara terbuka terutamanya apabila ada yang memerhati ketika dia membuka shalwar kameeznya di belakang pokok.

Shameen Bibi turut meluahkan pendapat yang sama apabila kesukaran untuk menyelesaikan urusan peribadi disebabkan situasi berhimpit di khemah-khemah penempatan sementara yang tidak mengizinkan.

Oleh kerana itu, Shameen dan anak-anak perempuannya hanya meminum air dalam kuantiti yang sedikit pada siang hari dan sanggup untuk menghabiskan masa berjam-jam dalam keadaan tidak selesa daripada dilihat orang asing ketika sedang membuang air.

Sebaik sahaja matahari terbenam dan hari mula gelap, para wanita akan mencari kawasan yang terpencil jauh dari kerlipan unggun api untuk membuang air kecil. Mereka juga menjaga antara satu sama lain secara bergilir-gilir.

“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku sekiranya seseorang datang dan cuba mengambil kesempatan ke atas kami,” kata Shameen.

Selain itu, kehadiran nyamuk dan juga lalat menambahkan lagi kesengsaraan mereka di samping terdedah dengan penyebaran penyakit. Sebahagian dari mereka telah berhenti menggunakan air banjir untuk mandi selepas ruam-ruam gatal mula hinggap di badan masing-masing.

Pada waktu malam, penghuni-penghuni kem ini juga turut terdedah dengan ancaman binatang berbisa seperti ular dan kala jengking.

Menurut salah seorang doktor sukarelawan yang berkhidmat di tapak kem semasa AFP melakukan tinjauan berkata, kekurangan tandas adalah punca utama peningkatan kes jangkitan kulit dan selesema perut yang sedang dirawat.

Menurut AFP, isu kekurangan tandas di kem tersebut merupakan isu yang amat serius. Ia menyebabkan golongan wanita dan kanak-kanak terutamanya terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan.

Baca juga: Ekonomi negara paling parah, RM jatuh inflasi naik-PH dakwa ini kegagalan Ismail Sabri sebagai PM

Baca juga: Bapa pelakon remaja ditahan, membabitkan kes serangan seksual, pengabaian dan memiliki bahan lucah