Banjir di Kota Tinggi, 3 jalan ditutup untuk kenderaan ringan

Oleh MALAYSIADATELINE

Sebanyak tiga jalan di daerah Kota Tinggi telah ditutup untuk kenderaan ringan kerana dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

Pegawai Daerah Kota Tinggi Datin Paduka Hazlina Jalil berkata ketiga-tiga jalan melibatkan Jalan Ladang Siang, Jalan Lok Heng-Sungai Mas dan Jalan Perani.

“Bagaimanapun, tiada jalan utama ditutup setakat ini dan hanya tiga laluan itu sahaja ditutup untuk kenderaan ringan.

“Sebenarnya banjir kali ini adalah kerana pertembungan hujan berterusan sejak malam tadi dan air pasang, jadi kita sentiasa memantau dan bersiap sedia,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Taman Desaru Utama di sini.

Seorang penduduk Md Johari Dol, 67, berkata banjir kali ini menyaksikan paras air meningkat mendadak susulan hujan lebat sejak malam tadi di daerah itu.

kota tinggi
#image_title

“Masuk ni sudah tiga kali kami terjejas banjir, tetapi kali ini paling teruk sebab air laju dan cepat naik sampai masuk ke dalam rumah, ada yang paras lutut dan peha, kalau di jalan luar pula paras pinggang. 

“Mungkin antara punca banjir sebab ada taman perumahan baharu berdekatan sekali gus menyebabkan air terus mengalir dan berkumpul ke sini,” kata bapa kepada enam anak itu.

Zaleha Abdul Rahman, 36, yang tinggal di perumahan itu sejak sembilan tahun lepas pula berkata rata-rata penduduk sudah bersiap sedia dan menjangkakan banjir berlaku.

“Kita memang sentiasa bersedia sebab Jabatan Meteorologi Malaysia juga sudah mengeluarkan amaran hujan lebat dan mengikut arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan ke PPS,” kata suri rumah itu.

— BERNAMA

Baca juga : Bayi lapan bulan selamat dalam kemalangan ngeri, wanita ini gesa ibu bapa beli ‘car seat’