Malaysia Dateline

Fokus tangani cabaran ekonomi – Bukan keutamaan KPM iktiraf UEC

Kementerian Pendidikan pada masa ini hanya akan memberi tumpuan utama kepada usaha dan menangani cabaran ekonomi serta kos sara hidup dihadapi rakyat.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) bukan menjadi keutamaan buat masa ini.

Menurutnya, isu berkaitan UEC seperti dituntut Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) akan dilihat dari semasa ke semasa.

“Apa-apa berkait dengan manifesto juga kita akan lihat semula kerana sekarang kita berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita tidak lagi bercakap mengenai manisfesto Pakatan Harapan (PH) semata-mata,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Menteri Pendidikan 2

Sejak era pentadbiran kerajaaan BN lagi, tuntutan mengenai pengiktirafan UEC dilihat sebagai alat untuk menggertak pihak kerajaan dan pembangkang.

Tuntutan Dong Zong tersebut juga sebelum ini dilihat ‘menggegar’ kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) yang berjanji untuk mengiktiraf sijil pendidikan itu dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Malah, gesaan Dong Zong supaya kerajaan mengiktiraf UEC berterusan walaupun pembentukan Kabinet diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim belum dimuktamadkan lagi bulan lalu.

Sebelum ini, pakar Perlembagaan, ahli akademik dan kumpulan memperjuangkan pendidikan kebangsaan telah awal mengingatkan mana-mana pihak yang mendapat mandat di Putrajaya untuk tidak tunduk pada desakan supaya UEC diiktiraf.

Pengiktirafan tersebut adalah bercanggah dengan sistem pendidikan kebangsaan sedia ada yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Penolakan terhadap tuntutan Dong Zong itu juga adalah rasional memandangkan mengiktiraf UEC adalah bertentangan dengan aspirasi negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, turut berpendapat pengiktirafan UEC dilihat boleh menyebabkan pertembungan terhadap sistem peperiksaan sedia ada yang diamalkan dalam pendidikan negara.

“Ia mencerminkan pendirian oportunis mereka, isu pengiktirafan ini menyentuh berhubung kestabilan pendidikan negara dan perlu diteliti lebih mendalam.

“Namun saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah biasa dengan ‘gelagat’ ini. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan kelak perlu mengambil kira untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi menjawab segala tuntutan ini.

“Ini kerana kerajaan tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu bersedia mempertahankan hak pendidikan nasional yang mengandungi sifat asas dan tidak boleh diketepikan dengan adanya pensijilan baharu,” dipetik BH.

Baca juga Kerajaan Perpaduan pikul misi besar selamatkan negara