Ekoran ramai yang menzahirkan rasa tidak puas hati kerana pembentangan Belanjawan 2022 tidak menyebut bantuan untuk golongan bujang, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil menjelaskan keadaan sebenar.
Menurut Zafrul, bantuan Keluarga Malaysia untuk golongan bujang memang disediakan tetapi masa pembentangan petang tadi sangat terhad dan tidak sempat untuk menghuraikan sepenuhnya.
Katanya ucapan beliau tadi adalah sebahagian dari pelbagai bantuan yang disediakan untuk Keluarga Malaysia.
“Ramai yang bertanya di media sosial, Bantuan Keluarga Malaysia ni tak ada ke untuk bujang?
“Adaaa. Kalau nak kita senaraikan semua, sampai malam pun mungkin tak habis ucapan.
“Tapi dalam #Bajet2022 memang ada macam-macam bantuan untuk semua lapisan masyarakat,” katanya yang turut berkongsikan ringkasan Bantuan Keluarga Malaysia untuk rujukan semua.
Terdahulu, ramai dalam kalangan netizen menanyakan bantuan kepada golongan bujang kerana sepanjang pembentangan Belanjawan 2021 langsung tidak disebut.