Malaysia Dateline

Bantuan tunai maksimum RM1,500 untuk pesakit buah pinggang

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng memberitahu pihaknya memberi bantuan wang khas untuk pesakit buah pinggang yang tinggal di kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan itu.

Menurutnya, Pusat Khidmat Parlimen DAP Kepong menerima hampir 100 permohonan setelah pihaknya mengumumkan program bantuan tersebut bulan lalu.

Beliau berkata, sumbangan khas itu meliputi bantuan tunai maksimum RM1,500 untuk seorang pesakit dan mereka yang tinggal di kawasan Parlimen Kepong tanpa mengira umur layak untuk memohon bantuan tersebut.

Dalam masa sama, Lip Eng juga menggalakkan pendermaan organ memandangkan seorang penderma boleh menyelamatkan banyak nyawa.

Tambahnya, secara purata lebih 50 peratus pesakit yang menerima rawatan pemindahan organ dapat meneruskan kehidupan mereka lebih 10 tahun.

Untuk rekod, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Mac lalu berkata, seramai 40,000 pesakit menghadapi masalah buah pinggang dan menjalani dialisis di Malaysia pada masa ini.

Jelasnya, lebih 8,000 pesakit baharu disahkan setiap tahun dengan jumlah kes semakin meningkat tanpa melihatkan sebarang tanda penurunan.

Bahkan, beliau berkata, seramai 106,000 pesakit buah pinggang kronik (CKD) dijangka memerlukan rawatan dialisis pada 2040 dengan kebanyakan kes berpunca daripada diabetes dan penyakit darah tinggi.

Lebih membimbangkan, kata Khairy, sebanyak 30 peratus daripada pesakit itu adalah golongan berusia bawah 45 tahun.

Lip Eng bersama antara penerima bantuan wang khas untuk pesakit buah pinggang.

Baca Apa jadi projek buat baja dan makanan haiwan ternakan, soal MP DAP

Baca Pelajar UUM mati dalam bilik asrama, dipercayai terkena kejutan eletrik