Banyak nyawa terkorban semasa kerja pembinaan, ini sebabnya JKR mohon sedekahkan Al-Fatihah

Oleh ARIF ATAN

Idea pembinaan Lebuhraya Timur Barat pada tahun 1967 bertujuan melumpuhkan gerakan komunis.

Bagi generasi TikTok mungkin ramai yang tidak tahu Lebuhraya Timur Barat telah menelan banyak nyawa semasa pembinaannya sebelum mula dibuka pada 1 Julai 1982.

Laluan sepanjang 125 kilometer dengan kini mempunyai lima kawasan Rawat dan Rehat (R&R) yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan itu bermandikan darah sejak bermulanya kerja pembinaan pada tahun 1970.

Selain berdepan dengan hutan tebal memandangkan melalui dua banjaran utama itu Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa, ancaman utama projek pembinaan yang memendekkan perjalanan ke pantai Timur ini ialah siri komunis.

Para pekerja ketika itu menaiki lori dengan diiringi oleh trak tentera. Ada pekerja juga terkorban dan cedera kerana kemalangan semasa bekerja.

Pekerja-pekerja JKR sentiasa di bawah pengawasan anggota tentera daripada serangan komunis.

Sejarah air mata dan darah tercatat pada 23 Mei 1974, apabila serangan komunis memusnahkan sebanyak 63 jentolak bermula pukul 8 malam sehingga pagi.

Mungkin tidak puas dengan kemudaratan yang diberi, komunis sekali lagi melakukan serangan hendap tiga bulan selepas itu. Akibatnya, nyawa tiga pekerja JKR yang dikenali sebagai Ismail, Husin dan Ali melayang bahana si bedebah komunis.

Atas keinsafan mengenang mereka yang bergalang nyawa demi menyiapkan jalan raya ini, JKR mendirikan tugu peringatan dengan memohon agar orang ramai menyedekahkan Al-Fatihah buat mereka yang terkorban.

JKR turut mendirikan papan tanda berserta sejumlah gambar dan penerangan ringkas mengenai serangan komunis itu berdekatan tugu berkenaan.

Oleh itu, bagi anda yang beragama Islam sambil menikmati pemandangan indah ketika merentasi lima jambatan di sepanjang Lebuhraya Timur Barat, bacakanlah dengan tulis ikhlas surah Al-Fatihah buat pekerja dan anggota tentera yang gugur di kawasan ini.

Selain banyak pekerja terkorban untuk menyiapkan lebuhraya yang juga menjadi laluan gajah ini, perlu diinsafi terdapat 116 anggota tentera maut sepanjang tempoh konfrantasi dengan komunis antara tahun 1968 hingga 1989 seperti tercatat di Dataran Juang milik Tentera Darat yang terletak tidak jauh dari Tasik Banding iaitu di Kem Sri Banding.

Pasukan keselamatan bersenjatakan SLR 7.62 mm memantau pekerja sepanjang pembinaan lebuhraya Timur Barat.

Berikut dikongsikan catatan pada tugu peringatan JKR itu:

Pengorbanan Dalam Kenangan Jalan Raya Timur Barat (1970-1982)

“Jalan Raya Timur Barat (Gerik-Jeli) telah dibuka pada lalu lintas pada 1 Julai 1982. Banyak nyawa telah terkorban semasa kerja pembinaan dilaksanakan mulai tahun 1970. Ada yang terkorban semasa kemalangan di tempat kerja dan ada yang diserang oleh pengganas komunis.

“Di lokasi ini 63 buah mesin jentolak tanah telah diletupkan oleh pengganas komunis pada 23 Mei 1974. Di lokasi ini juga tiga nyawa pekerja JKR telah terkorban dan beberapa lagi cedera dalam serangan pengganas pada 27 Ogos 1974.

“Beberapa serangan lain juga telah berlaku di sepanjang jalan raya yang melibatkan pekerja JKR dan anggota pasukan keselamatan.

“Kita memperingati semua yang telah berkorban nyawa bagi menjayakan pembinaan Jalan Raya Timur Barat ini.

“Sila sedekahkan AL-FATIHAH kepada orang-orang yang terkorban di sini.”

Baca juga Cahaya menerangi hingga ke Jumaat berikutnya, ini manfaat amal baca Surah al-Kahfi

Baca juga Teka-teki KBAT ni, boleh buat modal pada anak