Malaysia Dateline

Cahaya menerangi hingga ke Jumaat berikutnya, ini manfaat amal baca Surah al-Kahfi

Cahaya akan menerangi sesiapa yang membaca surah ke-18 al-Kahfi pada hari Jumaat hingga ke Jumaat berikutnya.

Dalil daripada Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi itu menerangkan mengapa surah yang bermaksud gua ini disunatkan untuk kita membacanya setiap malam Jumaat atau hari Jumaat.

Jika berhalangan untuk menghabiskan kesemua 110 ayat bermula dari muka surat 293, membaca dan menghafal 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah itu pun sudah besar ganjarannya.

Cahaya pagi Jumaat menyinari Bukit Dua Ringgit di Hulu Selangor 8211 Gambar hiasan

Nabi Muhammad SAW ada menyebut:

Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajal. (HR Muslim 1342)

Dalam riwayat yang lain sabda Baginda Rasulullah:

Barang siapa yang menghafal ayat akhir daripada Surah Al-Kahfi akan terpelihara daripada fitnah Dajal. (HR Abu Daud 3765)

Surah yang mengabadikan kisah sekumpulan pemuda yang melarikan diri ke sebuah gua kerana beriman kepada Allah dan ditidurkan selama 309 tahun qamariah itu sudah ratusan tahun diamalkan datuk nenek moyang kita.

Penyebaran kisah Ashabul Kahfi di rantau Tanah Melayu dikesan paling awal melalui sebuah manuskrip Melayu berkemungkinan dari Acheh bertarikh sekitar 1600 masihi yang mengandungi tafsir al-Quran.

Oleh itu, kisah Ashabul Kahfi yang mengelakkan penindasan raja yang kejam disebut melalui ayat 9 hingga 26 ini molek menjadi amalan kita setiap kali tiba Hari Penghulu Segala Hari dalam menempuh cabaran hidup selagi hayat dikandung badan.

Baca juga Benarkah anda anak keturunan Melayu? Cuba jawab 20 teka-teki berusia lebih 100 tahun ini

Baca juga Apa ada dengan Gunung Ledang, ini pengalaman orang kulit putih lebih satu abad lampau

Baca juga Bahaya minum air hujan, profesor ini dedah kawasan terpencil pun tidak terkecuali