Saya kongsikan satu artikel CEO Morning Brief berkenaan hutang-hutang 1MDB yang perlu dibayar tahun ini dan tahun hadapan. Disertakan juga laporan dari Kementerian Kewangan berkenaan kewangan 1MDB yang terkandung di dalam Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023.
Selepas membayar hutang 1MDB Energy Limited pada bulan Mei tahun ini, baki hutang berkaitan 1MDB dianggarkan berjumlah RM 25.9 bilion. Di dalam bulan Oktober, satu lagi bayaran sebanyak USD 1.75 bilion perlu dibayar. Di dalam Tinjauan Fiskal, ianya diterjemahkan kepada RM 7.7 bilion. Jika kita kira balik, kadar tukaran Ringgit/USD yang digunakan ialah 4.4. Saya rasa kadarnya jauh lebih tinggi sekarang.
Pada akhir Jun 2022, baki Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset yang dipegang oleh Kementerian Kewangan berbaki sebanyak RM 8 bilion. Ini berbanding dengan hutang pokok RM 25.9 bilion dan faedah/keuntungan sebanyak RM 5.7 bilion. Jadi tanggungan sebenar adalah RM 31.6 bilion pada kadar tukaran Ringgit/USD yang digunakan oleh Kementerian Kewangan.
Di dalam bulan Mac 2023, bon global 1MDB berjumlah USD 3 bilion pula akan matang. Kementerian Kewangan menilai hutang ini berjumlah RM 13.2 bilion. Pada kadar tukaran semasa, jumlahnya jauh lebih besar. Amerika pula dijangka akan menaikkan kadar dana kebangsaan kepada 4.5% berbanding dengan kadar sekarang. Ini akan menyebabkan tekanan ke atas Ringgit dan membesarkan lagi hutang 1MDB yang perlu dibayar.
Artikel CEO Morning Brief membuat beberapa conggakan bagi memudahkan kita memahami kesan hutang 1MDB ke atas rakyat. Di dalam Bajet 2023 yang dibentangkan pada hari Jumaat sebelum Perlimen dibubarkan pada hari Isnin kemudiannya, kerajaan memperuntukkan RM 7.8 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia 2023. Ini hanyalah lebih kurang 60% dari hutang 1MDB yang perlu dibayar tahun hadapan. Tentunya kita boleh nampak bertapa besarnya kesan hutang ini ke atas rakyat Malaysia seperti kita semua?
Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan yang dipetik oleh Berita Harian pada 21 Julai 2022, semenjak 2017 sehingga Mei tahun ini kerajaan telah membayar sebanyak RM 10.85 bilion bagi menjelaskan hutang-hutang 1MDB.
Jika masyarakat dan pengundi masih tidak nampak kesan lansung ke atas kita semua hasil dari kemungkaran tadbir urus seperti di dalam kes 1MDB ini, saya pun tak tahu apa lagi yang boleh menyedarkan kita? Ni hanya satu kes. Di dalam kes SRC International, kerajaan sudah membayar balik sukuk berjumlah RM 4 bilion kepada KWAP. Apa yang kita semua dapat selepas bayaran sebanyak itu dibuat? Masihkah orang-orang yang tidak jujur dan tidak amanah mahu diberikan kedudukan?
Kita kena ingat di dalam Al Quran ada pelbagai cerita berkenaan bagaimana Allah menghantar rasul-rasul kepada pelbagai kaum. Rasul-rasul berkenaan membawa petunjuk dan pelbagai mukjizat. Malangnya kaum-kaum berkenaan tetap menolak seruan rasul-rasul berkenaan dan akhirnya mereka dihapuskan oleh Allah SWT. Di antara dosa mereka ialah menipu di dalam perniagaan dan berlaku zalim sesama manusia, seperti kaum Nabi Shuib. Namun, di dalam banyak-banyak dosa kaum-kaum berkenaan, hanya dosa kaum Nabi Lut yang nampaknya melekat di dalam kepala masyarakat kita.
Semoga kita mengambil pengajaran dari pengkhianatan 1MDB ini dan tidak mengulanginya di dalam apa-apa tindakan dan keputusan yang kita buat di masa hadapan.
Baca juga: Bayar jurugambar sampai RM1699, wanita kecewa gambar gegar pun masuk album