Malaysia Dateline

Baru berusia 24 tahun dah ada kelayakan mengajar tahfiz seluruh dunia, remaja ini pemegang ‘Syahadah Ula al-Fateh’

Bukan calang-calang kehebatan anak muda berusia 24 tahun ini, iaitu Iman Mohd Asri apabila terpilih untuk memegang gelaran Syahadah Ula al-Fateh ketika di usia remajanya.

Syahadah Ula adalah peringkat tertinggi untuk seorang hafiz dan hafizah kerana di peringkat ini mereka perlu lulus semakan 30 juzuk tanpa melakukan lebih daripada 10 kesilapan bagi setiap juzuk semakan hafazan.

Pelajar juga akan melalui proses semakan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam masa sekitar 17 jam oleh 4 panel penguji.

Pencapaian Iman Mohd Asri sebagai pemegang Syahadah Ula al-Fateh ini dikongsikan Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menerusi saluran Telegram beliau.

“Sejak dahulu saya kenali beliau sebagai anak remaja yang hebat. Beliau adalah di antara beberapa orang di pemegang ‘Syahadah Ula al-Fateh ketika remaja

“Beliau lulus dengan jayanya, semakan tahfiz 30 juzuk al Quran oleh empat orang pemeriksa dalam tempoh 17 jam,” titipnya.

Menurut Dr Zainur Rashid, wanita muda itu kini memiliki sanad tahfiz 30 juzuk al Quran yang melayakkannya untuk mengajar tahfiz di mana-mana negara di seluruh dunia.

Iman juga memperolehi pangkat mumtaz iaitu 90 peratus dalam sanad hafazan 30 juzuk.

Bukan mudah untuk menjadi seorang penghafaz al Quran kerana menghafal kitab suci memerlukan pengorbanan dan disiplin yang tinggi. Kehidupan seharian mereka tidak sama dengan kita kerana mereka perlu mengurangkan tumpuan daripada perkara-perkara yang melalaikan untuk memastikan proses hafalan menjadi mudah.

Bagaimana cara untuk dapatkan Syahadah Ula?

Menurut Sinar Plus, Syahadah memiliki tiga peringkat dan peringkat paling tinggi adalah Syahadah Ula. Peringkat ini juga dikenali dengan nama lain iaitu, Syahadah Ulya.

Sebelum mencapai tahap tertinggi ini, terdapat dua peringkat yang perlu ditempuhi iaitu Syahadah Thalisah dan Syahadah Thaniah.

Syahadah Thalisah, peringkat terendah dalam Syahadah mengambil masa tiga hari untuk khatam, iaitu satu hari diperuntukkan untuk menghabiskan 10 juzuk al Qur’an. Peringkat seterusnya, Syahadah Thaniah pula mengambil pelajarnya membaca 15 juzuk al-Qur’an dalam sehari.

Apabila pelajar berjaya lulus kedua-dua peringkat sebelum ini, barulah mereka layak untuk menduduki ujian kelayakan Syahadah Ula.

Baca juga: “Kena jaga 15 kelas sehari” – Anak cikgu cerita hakikat jadi guru, ibu di sekolah banyak kerja sampai tidur 3 pagi

Baca juga: Rakyat mengeluh isu ketiadaan parkir setiap kali kondo baru naik, LRT pun tiada, dibina entah dekat mana