Malaysia Dateline

Bekalan air untuk penduduk Lembah Klang mampu bertahan lapan bulan ketika kemarau

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang berusaha keras memastikan penduduk Lembah Klang tidak akan menghadapi masalah bekalan air sekiranya kemarau melanda negara pada tahun 2025.

Ini kerana menurut Pengarah LUAS Hasrolnizam Shaari, bekalan air di Lembah Klang mencukupi dan mampu bertahan selama lapan bulan sekiranya kemarau berlaku di kawasan itu.

Menurutnya, bekalan akan diperoleh melalui tiga kaedah seperti menerusi empangan, kolam takungan dan air bawah tanah yang masing-masing boleh menampung penggunaan selama dua hingga empat bulan.

“Kita mampu menyediakan bekalan air sebanyak 5,000 juta liter sehari yang bersamaan dengan jumlah pengeluaran semasa.

“Kita perlukan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak supaya terus menjaga kualiti air dengan mengelakkan sebarang insiden pencemaran,” katanya kepada pemberita semalam.

Tambah beliau, ketika ini, terdapat seramai 6.5 juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang merupakan pengguna bagi bekalan air tersebut.

“Sekiranya terdesak, kita akan membawa sistem rawatan air di lokasi-lokasi penyimpanan air pada musim kemarau sebelum disalurkan kepada pengguna,” katanya

Hasrolnizam juga berkata pembenihan awan adalah kaedah terakhir yang akan digunakan oleh pihaknya.

Baca juga: Beratur panjang di JPJ, menteri digesa tambah lagi cawangan permudah urusan rakyat

Baca juga: Shiha Zikir diserang anxiety ketika sedang bersiap