Malaysia Dateline

Bekas Ketua Balai polis terima rasuah RM6,000 dari pusat hiburan yang langgar SOP PKP

Bekas Ketua Balai Polis Tengkera mengaku bersalah atas pertuduhan menerima wang tunai RM6,000 sebagai dorongan membantu sebuah premis hiburan yang melanggar larangan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu

Abdul Halim Alias, 59, didenda RM6,500 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, selepas hukuman itu diputuskan Hakim Elesabet Paya Wan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam yang bertugas di Balai Polis Tengkera didakwa menerima wang RM6,000 tanpa balasan daripada seseorang bernama Hang Kah Joon.

Perbuatan itu dilakukan di pejabatnya pada 11 Ogos 2020 antara jam 5 petang hingga 6.15 petang.

Ketika mitigasi, peguam Azrul Zulkifli Stork memohon hukuman denda paling ringan atas alasan tertuduh sudah insaf dan bertekad tidak mengulangi kesalahan yang didakwa pertama kali dilakukan sepanjang 41 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tertuduh juga mengatakan begitu menyesali perbuatannya kerana turut dipulau keluarga selain akan bersara tidak lama lagi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Haresh Prakash Somiah bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh atas kepentingan awam dan bagi mencerminkan kesalahan rasuah adalah serius dan tidak akan dikompromikan.

Katanya, tertuduh sebagai ketua balai seharusnya menunjukkan teladan murni kepada anggotanya dan masyarakat namun tidak menunaikan amanah diberikan kepadanya untuk menjaga keselamatan

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,500 atau lima bulan penjara jika gagal bayar selain bersetuju pertuduhan lain digugurkan atau diambil kira selepas dipohon pihak pendakwaan susulan pengakuan tertuduh

Baca juga: Anthony Loke tinjau keadaan LRT sendirian, rasai pengalaman bersesak waktu puncak

Baca juga: Lelaki ini tertidur atas motosikal di tepi jalan… bila disiasat rupanya…