Malaysia Dateline

Bekas Menteri Pertahanan terkejut dana LCS digunakan untuk biayai hutang lapuk kontraktor

Bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya Liew Chin Tong terkejut dengan kenyataan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ahmad Nazim Abdul Rahman bahawa sebahagian daripada dana LCS digunakan untuk membiayai hutang lapuk BNS (Bousted Naval Shipyard) untuk projek lama mereka.

Projek lama itu adalah NGPV yang bermula pada 1998 dan berakhir pada 2010 dengan “rescue fund” (dana penyelamat) daripada kerajaan Malaysia sebanyak RM1.4 bilion tanpa sebarang penambahan peralatan mahupun scope of work (bidang kerja).

Sebanyak RM6.08 bilion daripada siling RM9.128 bilion telah dibayar kepada BNS oleh kerajaan Malaysia.

Daripada RM6.08 bilion tersebut, RM255 juta digunakan untuk menjelas hutang lapuk NGPV, RM141 juta untuk faedah yang dikenakan kepada hutang NGPV, dan RM349 juta untuk “cost increase on design activities with NGPV”. Sejumlah RM745 juta telah digunakan untuk “bailout” projek NGPV.

“Hishamuddin mesti jawab adakah dia bersetuju dengan Ahmad Nazim Abdul Rahman bahawa dana LCS boleh digunapakai untuk membayar hutang NGPV.

“Adakah projek LCS dimulakan dengan tujuan untuk “rolling” hutang lapuk NGPV?” tanya kedua-dua mereka dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, bekas Timbalan Menteri Undang-undang Mohamed Hanipa Maidin berkata, pencarum Tabung LTAT boleh menyaman menteri kerajaan jika benar tindakan itu dibenarkan.

Dalam kenyataan malam ini, kedua-dua pemimpin kerajaan Pakatan Harapan itu juga berkata, mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah membuat tomahan bahawa Kementerian Pertahanan di bawah kerajaan Pakatan Harapan telah “membeku” projek LCS selama 15 bulan untuk siasatan atau telah “membekukan” projek LCS sejak September 2019.

“Ini adalah satu penipuan,” kata Mohamad dan Liew Chin Tong.

Kata mereka, Projek LCS telah mengalami masalah kewangan sebelum Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kuasa.

Setakat Ogos 2019, hutang BNS dengan institusi kewangan adalah sebanyak RM 869 juta, dan hutang kepada OEM adalah RM 767 juta. Hutang-hutang lain adalah RM 102.2 juta.

Jumlah hutang pada Ogos 2019 adalah sebanyak RM 1.738 billion.

Ramai sub-kontraktor dan OEM tidak lagi teruskan kerja kerana hutang. Kerajaan Pakatan Harapan tidak “membeku” projek LCS, katanya.

Kedua-dua mereka mengalu-alukan usul memohon Laporan Jawatankuasa Kira-kira Raya (PAC) dibahaskan di Dewan Negara oleh Senator Lim Hui Ying, Senator Fadhlina Sidek dan Senator Datuk A Kesavadas Nair.

Mereka telah mengemukakan usul tersebut kepada Yang Di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, semalam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein diminta menjelaskan status kewangan syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) dan projek LCS kepada Dewan Negara.