Malaysia Dateline

Pencarum LTAT boleh saman menteri dalam isu LCS, kata peguam

Kebelakangan ini, negara kecoh dengan khabar berkenaan enam Kapal Tempur Persisir (LCS) yang masih belum lagi siap dibina walaupun bayaran lebih RM6 bilion telah pun dibuat oleh kerajaan.

Dalam kes ini, peguam, Mohamed Hanipa Maidin berpendapat bahawa pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang tergolong sebagai pihak yang terkilan atau the aggrieved party, boleh membawa isu ini ke mahkamah dan memfailkan saman terhadap pihak terlibat.

Kata Hanipa, saman boleh dibuat terhadap kerajaan Malaysia, menteri atau pun pihak Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), di mana pada akhir 2011, kontrak RM9 bilion diberikan kepada Boustead secara rundingan terus tanpa melalui tender terbuka.

“Dengan hormat, saya berpendapat tindakan menyalahgunakan wang LCS di atas boleh dihujahkan adalah tergolong dalam tindakan yang dipanggil dalam undang-undang sebagai kesalahan ‘tort of misfeasance in public office’.

“Oleh itu, saya juga berpandangan mungkin ramai kot pihak yang mungkin boleh disaman seperti misalnya pihak YB menteri, pihak Boustead, dan kerajaan.

“Mungkin juga yang paling sesuai untuk menyaman itu adalah mana-mana pencarum LTAT yang saya rasa tergolong sebagai ‘the aggrieved party’ dan mempunyai ‘locus standi’ (legal standing).

“Antara remedi yang boleh dipohon adalah mungkin perintah deklarasi bahawa tindakan tersebut adalah tidak sah dan tergolong dalam penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pendek kepada Malaysia Dateline hari ini.

Untuk rekod, kontrak yang diberikan kepada Boustead berkuatkuasa pada 3 Oktober 2013 dan akan tamat pada 2 Oktober 2023.

Bagaimanapun pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa PIlihan Khas Parlimen (PAC) yang meneliti pengendalian projek LCS mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6 bilion walaupun tiada satu pun kapal yang siap.

LCS pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi hanya 44 peratus siap, menurut laporan PAC.

Laporan itu juga mengatakan pandangan panglima TLDM tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS.

Baca juga: “Pilihlah penaja baik sikit”-Pengunjung terkejut ekspo MAHA promosi vape, siap pasang iklan besar pada bas ‘shuttle’

Baca juga: ‘Sanggup berhutang nak beli iPhone, ramai lagi kaya tapi diam-diam saja’, aksi lakonan ini ‘makan dalam’