Sebanyak RM2.28 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa diseleweng oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pendapatan purata isi rumah di negara ini setakat tahun lalu merudum 10.3 peratus akibat pandemik Covid-19.
Selepas dua hari di Penjara Kajang, Najib pagi ini hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat pelaburan strategik negara itu.
Namun, bagi sebahagian besar rakyat Malaysia yang dalam golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40), angka ‘bilion’ itu mungkin sukar untuk digambarkan banyaknya seperti apa.
Bilion bersamaan ‘ribu juta’. Jika sejuta ringgit ada enam sifar (RM1,000,000) maka satu bilion ringgit perlu ditulis dengan sembilan sifar iaitu RM1,000,000,000.
Penulis Eza dipetik dari Majalah Labur ada berkongsikan ilustrasi gambaran banyak mana wang RM1 bilion jika disusun menggunakan wang kertas RM100.
Jika RM100 juta disusun, dapat dilihat terhasil satu bongkah palet besar duit separas pinggang dewasa dengan ukuran lebar kira-kira sedepa:
Ini bermakna secara perbandingan gambaran untuk jumlah RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd yang diseleweng Najib sehingga dia sudah dua hari meringkuk di Penjara Kajang, bayangkan hampir separuh daripada bongkah itu telah lesap!
Bagaimana pula rupa RM1 bilion kalau dilonggokkan? Gambarannya seperti di bawah dengan 10 bongkah palet besar:
“Di Malaysia, hanya dianggarkan lebih kurang 50 orang sahaja yang mempunyai nilai kekayaan melebihi RM1 bilion (0.0001629% dari jumlah penduduk).
“Anda sekarang mungkin boleh memuatkan sejumlah wang ini ke dalam bilik kebal bank,” kata Eza dalam artikel yang disiar pada tahun 2017 itu.
Untuk melihat lebih lanjut perbandingan banyaknya bilion ini, mari kita semak laporan kekayaan terkumpul individu terkaya Malaysia dalam senarai Forbes 2022 yang terbit pada Jun lalu.
Pengasas kumpulan Kuok, Tan Sri Robert Kuok yang kekal menduduki tempat pertama individu paling kaya di Malaysia mempunyai kekayaan sebanyak AS$11 bilion bersamaan RM49,313,000,000 atau lebih mudah ditulis sebagai RM49.3 bilion.
Jika berpandukan grafik yang sama, bayangkan di hadapan anda sekarang terlonggok sebanyak 490 bongkah palet besar! Ini baru betul orang kata, tujuh keturunan pun tak habis makan!
Namun, berbalik pada kes rasuah berskala raksasa atau kleptokrasi melibatkan Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), dia bukanlah taikun yang merupakan pemain bisnes secara langsung seperti Kuok yang digelar Raja Gula itu.
Wajarlah timbunan jumlah kekayaan Najib yang sukar terjangkau dek fikiran majoriti rakyat marhaen jauh sekali mengecapinya secara ‘real’ di tangan, wajib diadili secara telus buat iktibar untuk ahli politik dan “wakil rakyat” akan datang terutama Generasi Y (lahir 1981-1994), Generasi Z (1995-2010) dan Generasi Alpha (selepas 2010).
Baca juga Malaysia tiada layanan istimewa! Di luar negara ada penjara ala VIP setaraf hotel 5 bintang
Baca juga Hotel 13 tingkat untuk babi di China dengan kelengkapan mewah, siap ada kemera