Ibu tunggal yang bergaji RM12,000 sebulan hari ini mengaku bersalah menghina Islam telah didenda sebanyak RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen.
Orang kena saman (OKS) Hong Jia Ming, 34 yang bekerja sebagai perunding syarikat swasta membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.
Beliau mengaku bersalah menghina Islam menerusi hantaran akaun Facebook miliknya, dua tahun lalu.
Wanita itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya selain boleh didenda RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Bagaimanapun, peguam mewakili OKS, Haijan Omar berhujah supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum dengan mengambil kira status OKS sebagai seorang ibu tunggal yang mempunyai tanggungan anak lelaki berusia sembilan tahun selain mempunyai penyakit jantung dan bekerja sebagai perunding swasta berpendapatan RM12,000 sebulan.
Nor Hasniah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap OKS.
Berdasarkan fakta kes, OKS secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melalui perkhidmatan aplikasi laman web profil Joyceanne Hong pada 9.22 malam, 12 Mac lalu.
Hantaran itu menyebut ‘How many idiots got brain damage thinking their gatherings prayers will keep them away from Covid-19’ (Berapa ramai orang bodoh yang rosak otak beranggapan bahawa solat yang didirikan akan menjauhkan mereka daripada Covid-19) dengan perkataan ‘so stupid’ dan ‘support them’ (amat bodoh dan sokong mereka) di dalam kotak undian.
Ia dilakukan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang kemudian dibaca pada 12.41 tengah hari, 13 Mac 2020 di Masjid Muadz Jabal di Wangsa Maju oleh pengadu yang menerima hantaran mesej berkaitan hantaran itu menerusi kumpulan sembang WhatsApp tempat kerjanya.
Semasa dalam proses rayuan, OKS memaklumkan bahawa dia menyesal dengan perbuatannya dan mengakui hantarannya di Facebook itu mencetuskan salah faham dan menyinggung perasaan bekas rakan sekerjanya.
“Saya sudah belajar satu pengajaran akibat perbuatan ini dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam meluahkan pandangan pada masa hadapan,” katanya dipetik Harian Metro.
Baca juga: JKSTUPKK ditamatkan: Apakah takut pelbagai skandal lagi akan terdedah?
Baca juga: ‘Terbang’ RM7,000 atau penjara enam bulan selepas ajak ‘riot’ – Fikir sebelum tulis di media sosial