Malaysia Dateline

Berhenti di lorong kanan tanpa kon amaran, trak selenggara abai keselamatan pengguna jalan raya

Seorang pengguna media sosial memuatnaik satu rakaman papan pemuka (dashcam) menunjukkan beberapa trak yang menyelenggara lebuh raya, berhenti di lorong kanan sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

Apa yang menimbulkan kebimbangan, trak berkenaan berhenti di lorong paling kanan tanpa sebarang kon keselamatan.

Malah anak panah yang ditunjukkan juga tidak jelas kelihatan pada waktu siang.

Situasi tersebut menyebabkan pemilik dashcam hampir melanggar trak tersebut namun berjaya mengubah lorong secara mengejut.

“Jika tidak alert siang tadi…mungkin arwah, mungkin kurang upaya sepanjang hayat atau mungkin kena kecam siapa suruh bawa lebih 110kmj,” tulis pemilik dashcam Ahmad Shahir Arif di Facebook DashCam Owners Malaysia.

Kejadian difahamkan berlaku di sebuah lebuh raya di Johor menghala ke Melaka.

Susulan perkongsian video berkenaan, ramai yang menganggap pihak kontraktor telah mengabai keselamatan pengguna jalan raya kerana tidak bersiap sedia dengan alatan keselamatan yang sepatutnya untuk memberitahu pemandu tentang kerja-kerja baik pulih jalan di hadapan.

Mereka juga mengaitkan situasi itu dengan kejadian baru-baru ini membabitkan tiga beranak terlibat dalam kemalangan maut selepas merempuh sebuah lori yang sedang menjalankan pembaikan jalan di lebuh raya.

Pengguna media sosial mengumpakan tragedi menyayat hati itu sama dengan situasi yang dialami pemilik dashcam ini disebabkan kecuaian pihak lain.

Melihat kepada hal ini, ramai beranggapan ada yang tidak beres dengan prosedur keselamatan yang sepatutnya dipraktikkan oleh syarikat atau petugas penyelenggaraan jalan raya yang terlibat.

Tidak kira apa pun alasannya, tanda amaran dan lingkungan keselamatan perlu terlebih dahulu diletakkan dengan prosedur yang cekap, kata mereka.

“Kenderaan pegun di lorong kecemasan pun dah bahaya, inikan pulak lorong paling kanan. Sangat bahaya begini. Patut ada kon amaran beberapa puluh meter dari kawasan kerja. Kontraktor ni mesti dikenakan tindakan!,” kata seorang pengguna Facebook.

Baca juga: Jiran bawah merungut rumah bising tengah malam, Bila tengok CCTV rupanya ada makhluk aneh tengah merangkak

Baca juga: Tiket balik mengundi terlalu mahal, mahasiswa tuntut diskaun 50 peratus atau SPR benarkan undi pos