Biarpun tidak sempurna anggota kaki tetapi pelari maraton berusia lebih setengah abad ini membuktikan tiada yang mustahil untuk dilakukan oleh golongan orang kurang upaya (OKU).
Shariff Abdullah, 53, dari Singapura yang berkaki kiri palsu telah menyertai 30 acara maraton di seluruh dunia termasuk di Maraton Tenzing Hillary Everest pada 2016.
Ditemubual Astro Awani semalam, beliau yang juga telah menyertai enam acara ultra maraton, secara berseloroh berkata, aset terpenting baginya tentulah kaki prostetiknya.
“Kalau hilang benda lain tak mengapa, jangan hilang ‘kaki’ saya,” jawabnya kepada pengacara sambil ketawa.
Pelari profesional yang sudah memakai kaki prostetik sejak berusia lima tahun itu berkata, kaki palsu dipakainya diperbuat daripada fiber karbon.
Shariff berkata demikian ketika ditemui semasa Twincity Marathon di Cyberjaya pagi semalam.
Untuk rekod, siri maraton yang bermula pada 2014 itu merupakan antara acara utama dalam kalendar larian di negara ini dengan seramai 12,000 pelari hadir pada 2020.
Dalam masa sama, Shariff berharap golongan OKU berani mencuba dan bangkit untuk membuktikan bahawa mereka juga mampu untuk mencapai kejayaan.
“Mula dari sekarang, bersenam dan berlari, santai dan bergembiralah.
“Saya menyeru OKU untuk keluar dari ‘kotak hitam’. Lihat keindahan alam ini,” katanya dengan wajah ceria.
Baca juga Mahu buang ‘saka malas’ keluar bersenam, ini lima tips mula berjoging capai berat badan ideal
Baca juga Tiga melecur selepas kapal terbakar, selamatkan diri dengan terjun sungai