Malaysia Dateline

Berpecah dan tiada kuasa penyatu, PH perlu buat gabungan besar termasuk dengan PN

Pakatan Harapan (PH) perlu menangani perpecahan dan situasi tiada kuasa penyatu serta dalam masa sama membentuk gabungan besar termasuk dengan Perikatan Nasional (PN) untuk PRU-15.

Ketua penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, membentuk blok gabungan pembangkang adalah jalan terbaik untuk tempoh terdekat untuk berdepan dengan BN.

“Pilihan yang ada ialah gabungan. Tanpa gabungan yang besar termasuk dengan PN (Perikatan Nasional), saya tidak nampak satu peluang yang sangat besar (untuk menang) kecuali kalau berlaku dinamika yang besar pada saat-saat akhir nanti.

“Saya tidak begitu jelas (dengan peluang PH menang PRU-15) jika momentum PH yang ada sekarang diteruskan,” tegasnya.

Anwar Ibrahim

Dr Yusri berkata demikian dalam bual bicara ‘Diagnosis Membedah Politik Melayu-Islam Siri 1’ anjuran Pemuda AMANAH Nasional baru-baru ini.

Menurutnya, BN tidak begitu mudah untuk mendominasi dalam PRU-15 jika PH mencapai titik temu dengan PN dengan sekurang-kurangnya mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru.

Mengulas kesediaan PH menghadapi PRU-15, beliau berpendapat PH sedang berpecah dan berada dalam keadaan yang lemah dengan tiada pemimpin berperanan sebagai kuasa penyatu.

“Saya tidak melihat PH berada di trek yang betul untuk menghadapi PRU-15. PH berada dalam keadaan yang lemah sekarang yang akan dimanfaatkan oleh PN untuk menyerang pada waktu tepat.

“PH berpecah dan PH tiada kuasa penyatu sekarang. Tidak ada pemimpin dalam PH yang dapat menyatukan PH sekarang.

“Kalau isu sekecil logo (semasa pilihan raya) pun tiada kata sepakat dan tiada pemimpin, saya tidak nampak (peluang PH menang).

“Anwar akhir-akhir ini sudah hilang cengkaman, sangat longgar,” ujarnya sambil sekali lagi menekankan pentingnya PH untuk membentuk gabungan atau persefahaman politik blok pembangkang untuk mendepani BN.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/tanpa-sokongan-pengundi-melayu-ph-agak-sukar-menang-pru-15/

Baca juga: https://themalaysialife.com/disangka-kembar-rupanya-bayi-dilahirkan-mempunyai-dua-kepala-dan-tiga-tangan/