Malaysia Dateline

Berpendapatan hanya RM1,500 sebulan, pengajar institut memandu didakwa terima rasuah RM400

Seorang tenaga pengajar sebuah institut memandu yang berpendapatan RM1,500 sebulan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM400 daripada seorang pelajarnya.

Penerimaan wang itu sebagai dorongan untuk membantu meluluskan ujian memandu yang diambil, tahun lalu.

Tertuduh, Abu Zaharin Osman, 53, didakwa atas dua pertuduhan, iaitu utama dan pilihan, lapor BH.

Bagaimanapun, dia yang mempunyai seorang isteri serta dua anak masih kecil itu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagi pertuduhan utama, Abu Zaharin didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya wang tunai RM400 daripada seorang pelajar berumur 29 tahun sebagai dorongan untuk membantu meluluskan ujian memandu dijalani wanita itu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh didakwa diberikan wang suapan RM400 daripada pelajar berkenaan bagi tujuan sama yang mana tertuduh gagal melaporkan kepada SPRM berhubung pemberian sogokan itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran makanan segera di Jalan Hanis Najihah, Taman Perling, di sini, jam 1 tengah hari 23 Februari 2021.

Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin, memberitahu mahkamah bahawa perbuatan dilakukan tertuduh membabitkan kesalahan yang tidak boleh dijamin tetapi mencadangkan jumlah RM10,000 jika mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan jaminan itu.

Peguam, K Bharathi yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan dengan mengambil kira keadaan anak guamnya sebagai penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah, jika ada, hingga kes selesai.

Baca juga DAP seru kekal bertenang, BN pula tidak sokong PH dan PN

Baca juga Wanita jual surat cinta mak pada harga RM3 juta, tak sangka bekas kekasihnya Bob Dylan