Malaysia Dateline

DAP seru kekal bertenang, BN pula tidak sokong PH dan PN

Ketika kemelut politik negara terus buntu tanpa tiada mana-mana blok parti mendapat majoriti mudah, DAP menyeru semua pihak untuk kekal bertenang.

Setiausahanya, Loke Siew Fook berkata, semua pihak perlu bersabar menanti keputusan muktamad daripada Yang Di-Pertuan Agong berhubung pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, pada masa ini proses pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih berjalan.

“Proses yang sedang berjalan ini adalah sesuatu yang baru untuk negara kita namun ia adalah suatu proses yang biasa yang perlu dilalui dalam sistem Demokrasi Berparlimen ala Westminster dalam keadaan di mana tidak ada satu parti atau gabungan memenangi kerusi majoriti di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, tegasnya, DAP akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara dan mempertahankan Keluhuran Perlembagaan Malaysia.

“DAP juga menyeru semua pihak dan mengarahkan semua anggota DAP supaya sentiasa menjaga keharmonian dan ketenteraman awam sepanjang masa.

“Keamanan dan kedamaian dalam kalangan masyarakat kita mesti dipelihara dalam meraikan proses demokrasi yang semakin subur di negara kita,” tambahnya lagi.

Sementara itu, BN pula menegaskan bahawa parti itu tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) sekali gus bersetuju kekal sebagai pembangkang.

“Seperti yang saya janjikan semalam bahawa saya tidak akan bersama dengan PH walau apa yang jadi sekalipun.

“Alhamdulillah, Dewan Tertinggi BN telah buat keputusan bahawa kita tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan,” kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan sebentar tadi.

Pada PRU15, 19 November lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 73 kerusi.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 30 kerusi, diikuti Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan Sabah (Warisan) (tiga), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (satu) dan calon Bebas (dua).

Baca juga Anwar risau sentimen perkauman yang panas di TikTok

Baca juga Disamakan dengan watak ibu ayam dalam filem, netizen kritik tak sesuai ambil gambar dengan rokok di tangan