Bersaralah dari politik, pengundi jangan macam keldai, ahli parlimen ini dikecam orang ramai

Oleh ARIF ATAN

Orang ramai menasihatkan supaya Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bersaralah dari politik selain menyeru pengundi untuk tidak bersikap seperti keldai semasa mengundi.

Reaksi rakyat itu susulan tindakan Tajuddin yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah di Parlimen, minggu lalu.

Walau bagaimanapun, Dewan Rakyat akan memutuskan nasib Tajuddin dalam minggu ini selewat-lewatnya esok.

Siasatan terhadap Ahli Parlimen veteran Umno itu dilapor sedang dijalankan termasuk memanggil beberapa saksi untuk pengesahan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon meminta diberi masa kerana baru menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, memintanya mengendalikan isu berkenaan.

Tajuddin memang dikenali sebagai Ahli Parlimen Umno yang kerap mengeluarkan bahasa kurang sopan semasa sidang Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, rakyat berharap tindakan lebih tegas dikenakan terhadap bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana berkenaan.

“Bersaralah dari politik biar di Pasir Salak itu diwakili orang muda,” kata Md Din Lani.

Pengguna Facebook, Ady Sahadi pula secara berseloroh, berkata, “Tolong KKM (Kementerian Kesihatan) tidurkan terus orang tua ni.”

“Ahli parlimen adalah penggubal undang-undang. Tunjukkan tabiat yang baik,” kata Fazli Omar Ganing.

Dalam masa sama, pengundi di 222 kawasan Parlimen juga dinasihatkan mengetepikan pemimpin yang bermasalah sebaliknya memilih pemimpin yang tepat.

“Yang salah adalah pengundi yang memberi undi kepadanya lagi dan lagi. Pengundi yang macam keldai tak tahu pilih pemimpin yang baik,” bidas Hassan Ismail.

Dalam sesi sidang Dewan Rakyat, 20 Julai lalu, terdapat sembilan saksi dalam kalangan Ahli Parlimen mendengar Tajuddin mengungkapkan kata kesat dan lucah berkait dengan kemaluan wanita ketika mikrofon ditutup.

Kekecohan ekoran kenyataan Tajuddin itu berlaku semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual apabila dia menggelar beberapa Ahli Parlimen wanita DAP bersikap tidak senonoh ketika cuba membidas dakwaan Teo Nie Ching (PH-Kulai).

Nie Ching menyifatkan Tajuddin kerap membuat kenyataan berbaur seksis kepada Ahli Parlimen wanita.

Baca juga Selepas londeh isu dalaman Umno, Tajuddin muncul sohor kini di Twitter

Baca juga Wartawan China cuba bunuh diri lepas dikecam netizen, terlalu emosi ketika lapor kematian Shinzo Abe