Malaysia Dateline

Selepas londeh isu dalaman Umno, Tajuddin muncul sohor kini di Twitter

Nama Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dipecat daripada Umno muncul sohor kini di Twitter selepas melondehkan isu dalaman parti itu dalam sidang media siang tadi.

Sehingga jam 8 malam tadi, isu membabitkan Tajuddin hangat dibincangkan di media sosial itu dengan lebih 4,600 ciapan.

Terdahulu, bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad yang tahun lalu dikecam orang ramai ekoran sidang media nahas dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) itu menyerang dan mendedahkan banyak perkara berkaitan perjalanan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Tajuddin yang juga Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu pada sidang akhbar hari ini turut mendedahkan keputusan MKT serta beberapa pertemuan bagi tujuan tertentu.

Dia memberitahu pada Mei 2020, terdapat pertemuan di rumahnya melibatkan antaranya kehadiran Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jelasnya, turut hadir Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi mendesak Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya berundur secara baik.

Walau bagaimanapun, Tajuddin mendakwa Mohamad atau Tok Mat sebagai ‘belot’ daripada ketetapan tersebut selepas ‘digertak’ pegawai kanan Ahmad Zahid.

Baca juga Kita nak tengok Tajudin guna logo Pas PRU-15, kata Puad Zarkashi

Baca juga “Hubungan kami lebih baik dari ketika berkahwin” – Nikki Palikat dedah sudah bercerai dengan Audi Mok