Malaysia Dateline

Bersedia dengan kesan air surut global – Siapa dan sektor ekonomi mana akan terkesan?

Ahli ekonomi menegaskan perlunya Malaysia bersedia dan mempunyai rancangan awal dengan kelembapan atau air surut ekonomi global 2023.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, semua institusi antarabangsa mengunjurkan kelembapan ekonomi global ini yang pasti mengesani Malaysia.

“Umumnya KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) , pengeluaran industri dan eksport dalam trend meningkat, tren pemulihan.

“Tiga petunjuk makro ini dirujuk oleh YB Menteri Kewangan dan Gobernor sebagai tanda pemulihan ekonomi Malaysia.

“Saya lebih cenderung melihat trend positif ini sebagai ‘kesan air pasang’, manfaat dari pemulihan awal dalam kalangan negara maju pada tahun 2021.

“Bagus tetapi kita masih terdedah pada prestasi ekonomi global,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Sehubungan itu, Dr Noor Azlan berkata, Bajet 2023 perlu mengenalpasti bagaimana Malaysia akan terkesan dengan kesan air surut global ini.

Sebelum ini, beliau telah mengingatkan pentingnya kerajaan, industri dan rakyat mempunyai komitmen tinggi untuk mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan struktur yang sekian lama dialami negara ini.

Antara 15 permasalahan struktur yang Malaysia hadapi sekian lama seperti dikongsikan Akademi Profesor Malaysia (APM) menerusi forum secara Zoom baru-baru ini:

1. Manfaat pertumbuhan tidak dirasai oleh sebahagian rakyat Malaysia

2. Kerentanan pendapatan rakyat menjejaskan kualiti kehidupan

3. Perusahaan mikro, kecil dan sederhana dan sektor informal yang tidak berdaya saing

4. Kebergantungan yang tinggi keatas pelaburan asing untuk eksport negara

5. Produktiviti pertanian yang rendah dan kelemahan sekuriti makanan

6. Kekangan fiskal dan bebanan hutang yang menghadkan keupayaan kerajaan

7. Hutang isi rumah yang tinggi

8. Graduan menganggur atau bekerja di bawah kelayakan dan kemahiran mereka

9. Lambakan pekerja asing tanpa kemahiran

10. Ketidakupayaan adaptasi teknologi dan inovasi

11. Kelestarian alam yang semakin tergugat

12. Jurang pembangunan antara negeri/wilayah

13. Kelemahan governans dan integriti

14. Kualiti sistem pendidikan yang menghasilkan bakat menepati keperluan industri

15. Keperluan membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui

Baca juga Jangkaan ekonomi meleset dan Bajet 2023 – Pakar ini takut Malaysia jadi ‘kesan burung unta’

Baca juga Doa di ‘tanah kebun’, akhlak adik istimewa ini dipuji netizen