Malaysia Dateline

Penetapan Hari Raya guna kaedah rukyah hisab tidak semestinya sama ikut taqwim

Hari ini, penentuan tarikh-tarikh bagi puasa 1 Ramadan dan Hari Raya 1 Syawal sudah tidak jadi suspens seperti dulu-dulu.

Sewaktu saya di sekolah rendah pada zaman awal 70-an, kami memang akan menunggu pengisytiharan daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, bagi penetapan kedua-dua tarikh penting itu.

Sekarang ini hampir semua orang berfahaman, ikut sahaja tarikh dalam kalendar atau takwim yang dikeluarkan oleh JAKIM, tak lari punya. Kalau mengikut takwim, tarikh raya tahun ini adalah pada hari Selasa 3 Mei.

Rasanya semua sudah buat perancangan bila nak cuti, bila nak bertolak balik kampung, yang naik bas, keretapi atau kapal terbang, dah pun beli tiket siap-siap, yang nak memandu pun dah rancang bila nak bertolak.

Pasal cuti tidak berapa kritikal sebab hari Isnin tu memang dah cuti gantian, sebelum itu pun dan hujung minggu. Yang nak gerak awal, mungkin petang Jumaat lepas kerja dah boleh jalan, yang nak gerak lewat sikit mungkin Isnin baru nak gerak balik.

Berbalik pada isu penetapan tarikh-tarikh puasa dan raya, bagaimanakah ianya ditetapkan? Pada tahun 60-an dan awal 70-an, kaedah penetapan adalah melalui amalan melihat atau merukyah anak bulan, atau rukyah hilal.

Pada masa itu Teluk Kemang di Negeri Sembilan adalah stesen merukyah anak bulan atau hilal yang tersohor, walaupun sebenarnya ada lagi stesen-stesen cerapan di negeri-negeri lain, seperti di Menara Masjid Abu Bakar, Johor Bahru dan di Bukit Melawati, Selangor.

Pada masa itu, memanglah pengisytiharan dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia amat ditunggu-tunggu, khususnya untuk tarikh raya.

Biasanya sekitar jam 8.30 malam, selepas selesai berbuka puasa, mungkin sambil mengisi beras dalam ketupat, atau menumbuk rempah untuk rendang.

Sekiranya jadi raya esoknya, barulah akan ditanak ketupat, dimasak rendang dan penyediaan lain-lain juadah utama bagi menyambut raya. Sekiranya dilanjutkan puasa sehari lagi, maka tak jadilah acara masak-memasak tu.

Kemudian pada awal tahun 70-an, kaedah penetapan ditukar kepada kaedah rukyah dan hisab (lebih kepada kedah hisab sebenarnya). Semua orang suka kaedah ini, sebab senang nak merancang. Semuanya definit. Sudah tiada lagi elemen suspens menunggu pengisytiharan seperti sebelumnya.

Tetapi pada akhir 70-an, kaedah rukyah digunakan semula sehingga pertengahan tahun 80-an. Pada tahun 1984 pula, kaedah penetapan ditukar kepada kaedah hibrid, yang dikenali sebagai kaedah rukyah hisab (rukyah dan hisab).

Untuk memahami kaedah hibrid ini, kita perlu memahami dahulu bagaimanakah kaedah hisab itu. Secara umumnya kaedah hisab adalah membuat perhitungan bagi menentukan sama ada anak bulan atau hilal boleh kelihatan atau tidak pada hari merukyah.

Bagi menentukan kebolehnampakan hilal ini, satu kriteria telah digunakan. Kriteria ini
dipanggil sebagai kriteria kebolehnampakan hilal (visibility criterion) atau arabnya inkanur-rukyah.

Kriteria ini menentukan tahap minimum untuk hilal boleh dilihat secara fizikal. Sekiranya pada hari merukyah, hilal masih di bawah kriteria, maka kemungkinan untuk dilihat adalah negatif.

Sebaliknya, jika hilal sudah memenuhi kriteria atupun sudah melebihi kriteria, maka kemungkinan untuk dilihat adalah positif.

Kesemua ini adalah dengan anggapan bahawa keadaan kaki langit di kawasan kenampakan hilal itu adalah cerah dan tidak dilitupi awan. Persoalannya, apakah kriteria itu dan bagaimana kriteria ini dibentuk? Ada banyak kaedah atau cara bagaimana kriteria ini boleh dibentuk.

Kriteria semasa adalah berdasarkan kepada geometri hilal pada waktu matahari terbenam pada hari rukyah. Ada dua parameter, iaitu ketinggian hilal di atas ufuk (altitud) dan juga sudut elonggasi (sudut pisahan) antara bulan dan matahari.

Nilai yang digunakan untuk kriteria semasa adalah 3 darjah dan 6.4 darjah (kriteria sebelum ini menggunakan nilai 2 darjah dan 3 darjah). Nilai-nilai altitud dan elonggasi ini diperoleh secara kaedah empirikal berdasarkan rekod dan data cerapan puluhan tahun di seluruh dunia.

Namun untuk negara-negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (negara-negara di bawah MABIMS), data cerapan yang digunakan kebanyakannya adalah dari empat negara berkenaan.

Sudah tentu kriteria ini boleh berubah, berdasarkan data-data dan juga hasil pencerapan baharu
yang diperoleh dari semasa ke semasa, kerana ianya adalah satu proses kajian saintifik.

Namun, ianya tidaklah ditukar dalam jangka masa yang dekat, umpamanya kriteria imkanur rukyah kita hanya ditukar selepas hampir 20 tahun digunakan.

Keadaan hilal

Berbalik kepada hal berkaitan penetapan 1 Syawal tahun ini, keadaan hilal pada hari rukyah (Ahad 1 Mei) ketika waktu terbenam matahari adalah pada altitud 5.25 darjah dan elonggasi 5.46 darjah.

Keadaan ini sudah hampir, namun masih tidak memenuhi kriteria kenampakan (altitud 3 darjah dan
elonggasi 6.4 darjah).

Sekiranya diambil keadaan ini menurut hisab, maka hilal tidak akan kelihatan, dan Ramadan akan digenapkan 30 hari, maka raya jatuh pada hari Selasa, 3 Mei.

Namun, apa yang menarik ialah keadaan hilal pada hari rukyah itu sudah jauh melebihi kriteria kenampakan yang lama (altitud 2 darjah, elonggasi 3 darjah), maka secara teorinya, kemungkinan untuk hilal akan kelihatan adalah positif.

Dengan kaedah penetapan rukyah hisab semasa, kaedah rukyah masih menjadi kaedah penentuan
utama, ie. sekiranya hilal kelihatan apabila dirukyah, maka hasil rukyah akan digunakan, walaupun secara hisab ia masih belum memenuhi kriteria inkane-rukyah.

Dengan adanya 29 stesen rasmi cerapan hilal di seluruh negara pada masa ini, kemungkinan untuk hilal kelihatan apabila dirukyah di salah satu stesen cerapan, adalah besar.

Sekiranya ini benar-benar terjadi, ie. hilal kelihatan, maka Hari Raya akan jatuh pada hari Isnin, 2 Mei.

Penulisan ini hanya bertujuan untuk memahamkan kita semua bahawa penetapan awal puasa dan raya yang menggunakan kaedah rukyah hisab ini tidak semestinya akan mengikuti hasil hisab (ikut taqwim).

Ada kemungkinan hasil rukyahlah yang akan menentukan bila sebenarnya tarikh-tarikh puasa dan raya nanti. Harap-harapnya kita akan mengambil kira kemungkinan ini dalam perancangan untuk balik kampung dan beraya.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.

*DR. HJ. MUSTAFA DIN SUBARI merupakan ahli falak dan ahli akademik di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL).

Baca Pilihan raya mungkin selepas Hari Raya

Baca Nak beli kereta terpakai? Lelaki kongsi 11 tip untuk pilih kereta yang betul