“Berulang kali kakak minta maaf, kakak tak sengaja”, ibu cerita semula insiden kakak tertikam adik

Oleh KIM SYAZIE

Susulan kes seorang remaja perempuan menikam adik lelakinya hingga maut, ibu kepada dua beradik itu tampil membuka cerita sebenar berkenaan insiden yang menimpa kedua-dua anaknya.

Wanita berusia 43 tahun itu berkata, ketika kejadian, dia sedang mengambil kedua beradik itu dari sekolah, dan mereka juga bukanlah berebut tempat duduk seperti didakwa pada awalnya, sebaliknya cuma bergaduh mulut sahaja.

Pergaduhan bermula apabila si adik tidak berpuas hati apabila kakak menyandarkan kerusi kereta sedikit ke belakang, dan mereka berdua saling berbalas mulut selepas itu.

“Masa ambil si adik, arwah ada bertanya ‘kenapa lambat ni ibu’. Saya pun jawab ‘lah ibu ambil kakak lah’. Lepas itu dia pun senyap. (Tentang) kerusi, mereka bukan berebut kerusi.

“Cuma kerusi dijatuhkan dan si adik suruh naikkan semula. Lepas itu dia macam dah marah dia cakap ‘Kakak, kakak pekak ke’. Mereka pun bergaduh mulut. Lepas itu kakaknya kata ‘lain kali kalau abang minta tolong, kakak tak nak tolong lagi’. Dia macam dah sedih.

“Dia mula dengan provokasi. Saya minta mereka senyap, ‘dah, dah, panas ini‘. Jadi sepanjang perjalanan pulang ke rumah tu mereka berdua senyap,” cerita ibu mangsa.

Ya Allah, abang…apa yang kakak dah buat, maaafkan kakak, maafkan kakak, maafkan kaka

Kemudian ibu mangsa berkata, kakak dan adik sambung bergaduh sejurus tiba di rumah sebelum anaknya yang ketiga memanggil untuk melihat si abang yang sudah berlumuran darah kerana tertikam pisau.

Pada waktu itu, suspek juga kelihatan panik dan berulang kali meminta maaf pada adiknya. Suspek juga meminta agar adik untuk tidak membencinya.

“Saya dengar anak saya yang nombor tiga tu jerit ‘ibu, ibu abang dah berdarah banyak ni ibu’. Ketika itu saya dah macam….’kakak kau dah buat apa ni!‘ Kakak masa itu panik sangat. Arwah masa tu dah macam nazak, dan tiba-tiba senyap.

“Kakak terus cakap ‘Ya Allah, abang…apa yang kakak dah buat, maaafkan kakak, maafkan kakak, maafkan kakak. Jangan benci kakak, kakak tak sengaja.. Ya Allah apa kakak dah buat, apa kakak dah buat ni.’

“Ibu, ibu nanti kakak masuk neraka sorang-sorang ke, kita tak sama-sama ke syurga ke,” kata ibu mangsa lagi.

Terkini, remaja berusia 17 tahun itu dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap adiknya minggu lalu.

Baca juga: 4 hari bersalin dah keluar tolak ‘stroller’, Dr Amalina beri 8 amalan lepas bersalin, yang penting kena ‘enjoy’

Baca juga: Tokoh di belakang “Bendera Putih” mula panaskan kempen PH di Kelantan