“Betul-betul Keluarga Malaysia”, Jovian Mandagie dikritik guna setiausaha akhbar PM untuk sebar sidang media

Oleh KIM SYAZIE

Nama pereka fesyen Jovian Mandagie pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini apabila ramai pihak menuding menantu perdana menteri itu sebagai penyebab pelitup muka di pasaran perlu mendapatkan cop SIRIM.

Terbaru, Jovian Mandagie sekali lagi mendapat perhatian ramai apabila didakwa menikmati keistimewaan selaku menantu kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jovian dilihat mempunyai akses untuk menggunakan setiausaha akhbar Ismail Sabri, bagi tujuan menyebarkan produk fesyen terbarunya kepada media.

Ia selepas tular satu tangkap layar perbualan di Group WhatsApp memperlihat SUA Ismail iaitu Azmi Tarmizi berkongsikan jemputan sidang media mengenai produk fesyen Jovian, di kumpulan pemesejan WhatsApp untuk wartawan menghubungi pihak perdana menteri.

Tangkap layar yang tular itu dikongsi semula oleh Ahli Parlimen PKR, Fahmi Fadzil dengan kapsyen “Jemput pakai media PMO? Betul-betul Keluarga Malaysia”.

Perkongsian itu kemudian mengundang sindiran ramai kerana media PMO digunakan untuk mencampur aduk urusan hal kerajaan dengan perniagaan.

“Cuba pegawai kerajaan jual sotong kering dalam media PMO, agaknya apa pula yang jadi,” komen pengguna Twitter.

Baca juga: Tular video lelaki gunting bendera Jalur Gemilang yang dipacak di ibu kota

Baca juga: Ketua Pemuda AMANAH dituduh di mahkamah pagi ini kerana demonstrasi aman turunkan harga barang