Malaysia Dateline

Tular video lelaki gunting bendera Jalur Gemilang yang dipacak di ibu kota

Sejak semalam, tular satu video menunjukkan seorang lelaki bertindak menggunting bendera Jalur Gemilang yang dipasang di tepi jalan di Ibu Kota. Difahamkan kawasan tersebut berhampiran Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).

Perbuatannya itu dirakam sebuah kamera papan pemuka (dashcam) milik orang awam yang kemudian dimuatnaik di media sosial TikTok oleh seorang pengguna, iekakartika_.

Dapat dilihat seorang lelaki yang mengenakan baju merah dan bertopi biru, telah bertindak menggunting beberapa kain bendera yang dipacakkan di tepi jalan. Namun tidak diketahui warganegara lelaki itu.

“Apa dia buat wey. Habis semua dia gunting. Sumpah sakit hati,” tulis kapsyen dalam video berkenaan.

“Untuk makluman semua, perakam dah tegur tapi kena marah. Lagipun dia pegang gunting, bahaya mendekat,” jelas pengguna media sosial lain menjawab kemarahan ramai yang mempersoal mengapa si perakam tidak bertindak memarahi atau membunyikan hon.

Rakaman berdurasi 38 saat itu benar-benar menimbulkan kemarahan ramai apatah lagi sekarang di bulan kemerdekaan negara. Mereka menganggap tindakan tersebut sama seperti cuba menjatuhkan maruah negara.

Mereka juga membuat andaian kemungkinan si pelaku ada masalah mental. Bagaimanapun mereka beranggapan lelaki tersebut wajar dilucutkan kerakyatan dan kewarganegaraan jika benar dia rakyat Malaysia.

“Lepas kena siasat dan dakwa, automatik ada sijil mental. Apa-apa pun tolong batalkan kewarganegaraan pelaku ini. Halau keluar dari Malaysia,” tulis pengguna Facebook.

Sementara itu, Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata polis belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

Baca juga: “Saya tidak beli mana-mana pasukan”, Elon Musk cuma bergurau, tak berhasrat beli Manchester United

Baca juga: Anggota JPJ didakwa terima rasuah dari syarikat lori selama 3 tahun, disuap lebih RM27,000