Biarpun banyak isu yang membelenggu Barisan Nasional (BN) namun kerana perpaduan dalam parti itu mampu meraih kemenangan pada PRU15 nanti jika pembangkang tidak bersatu.
Bekas pensyarah Sains Politik UKM Prof. Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff dalam tulisannya menjelaskan betapa mustahaknya perpaduan dan kerjasama elit bagi parti yang ingin menang dalam PRU kali ini.
“Menurutnya, Kajian Diamond dalam Developing democracy toward consolidation dan Linz & Stepan dalam Problems of democratic transition and consolidation telah menunjukkan konsolidasi elit adalah penting untuk menonjolkan imej perpaduan bagi mengekalkan rejim.
“Tanpa imej perpaduan ini, harapan untuk menjatuhkan rejim pemerintah sukar kerana rakyat tidak percaya kepada parti yang gagal menjanjikan kestabilan dan perpaduan,” katanya.
Di Malaysia, bagi Agus BN gagal memenangi hatta satu kerusi pun di Kelantan dalam PRU 1990 kerana imej perpaduan dan konsolidasi elit Pas dan S46 yang kuat ketika itu.
Di Indonesia pula katanya gerakan reformasinya berjaya kerana elitnya tidak Bersatu mendokong rejim Suharto.
“Di Malaysia, BN berjaya mengekalkan pemerintahannya kerana keupayaan Tun Mahathir menyatukan elit-elit politik BN untuk bersatu dan tidak melawan kepimpinannya.
“Begitulah juga dengan PRU ini. BN bersatu dan perpaduan inilah yang meyakinkan BN untuk membubarkan parlimen.
Pembangkang menolak untuk mengadakan pilihan raya kerana mereka tahu perpaduan sesama mereka rapuh,” ujarnya lagi.
Alasan banjir tidak kukuh kerana sebelum ini, seingat Agus setelah cukup sahaja tempoh 36 bulan kerajaan berjalan, pembangkanglah yang memalu gendang untuk PRU diadakan.
“Apakah BN ada harapan untuk menang? Biarpun banyak isu yang tidak menyebelahi BN, BN mempunyai peluang yang lebih besar jika pembangkang tidak bersatu.
“Isu, manifesto, calon, kekuatan jentera parti dan lainnya penting dalam pilihan raya, namun konsolidasi elit dan imej perpaduan lagi penting,” katanya lagi.
Oleh itu, jelas beliau mustahak bagi pemimpin pembangkang untuk berkonsolidasi walaupun memang payah kerana masing-masingnya telah ada parut luka yang dalam melalui Langkah Sheraton dan pengkhianatan dan kesakitan yang tajam, inilah cabarannya untuk pemimpin pembangkang.
“Bagaimana untuk bekerjasama? Berjiwa besarlah dan mulakan langkah untuk sekurang-kurangnya ada electoral pact. Dengan kerjasama elektoral sahajalah sekurang-kurangnya, PRU ini akan menjadi lebih menarik dan menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk negara tercinta ini.
“PH, PN, GTA, MUDA dan Warisan—sila duduk bersama dan berbincang. Tidak perlu fikir tentang khemah besar, fikir tentang electoral pact sahaja. BN dan PH semuanya masih ada masa sehingga hari pencalonan untuk berbuat demikian.
“Ingatan saya kepada pemimpin pembangkang cuma satu: Jangan salahkan rakyat yang tidak tahu memilih jika gagal berkonsolidasi sekiranya BN menang lagi,” katanya.
Baca juga: Menjelang PRU 15, sedarilah kebenaran tidak tersusun boleh dikalahkan kebatilan yang tersusun
Baca juga: Kadar tol AKLEH, GCE, LKSA, Silk turun mulai 20 Oktober