Malaysia Dateline

“Bila filem untung, pelakon tak kaya tapi dapat banyak tawaran berlakon” – Luahan Nam Ron lepas Mat Kilau cecah RM90 juta

Filem Mat Kilau kini dilaporkan sudah berjaya mengutip RM90 juta bagi 33 hari tayangan di panggung wayang. Penerbit sudah lama dapat balik modal dan mungkin ada yang menganggap bahawa para pelakon juga pasti ‘jutawan’ dengan perkembangan baik ini.

Namun ada yang tidak tahu bahawa untung atau rugi sesuatu filem itu sebenarnya tidak diperoleh oleh pelakon tetapi sebaliknya ia pergi kepada penerbit. Jika untung, penerbit lega. Jika rugi, penerbit susah hati.

Seperti perkongsian Nam Ron yang merupakan salah seorang tunggak utama dalam filem Mat Kilau di mana dia memegang watak sebagai Haji Sulong, dia memberitahu bahawa bayaran pelakon hanyalah bersifat one-off yang telah dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Jadi, tiada isu tentang pelakon makin kaya. Namun yang pasti pelakon akan terus mendapat tawaran berlakon dari penerbit-penerbit lain atas kejayaan sesuatu filem.

Kami kongsikan penjelasan penuh Nam Ron yang dikongsikannya menerusi Facebook miliknya.

Kebelakangan ini, saya dapati orang sekeliling memandang saya seperti jutawan.

Ada yang minta sumbangan dan bantuan atau sekurang kurangnya tersenyum lebar bila memandang saya dan ada yang berani menegur ”kaya lah abang sekarang.”

Ini semua gara gara filem Mat Kilau collect berpuluh puluh juta. Kebanyakan orang ramai tak tahu hakikat sebenarnya.

Keuntungan sesebuah filem bukannya pergi kepada pelakon mahupun pengarah. Untung rugi sesebuah filem itu akan ditanggung oleh penerbit.

Jika sesebuah filem itu untung senanglah hati penerbit sebaliknya jika rugi susah lah hatinya.

Saya tak salahkan penonton yang tidak tahu hal yang sebenarnya kerana ada juga agensi kerajaan yang tidak tahu akan hal ini.

Contohnya ada kawan seorang pelakon yang berlakon filem box office mendapat surat dari LHDN memintanya menjelaskan cukai yang tak masuk akal hanya kerana filem lakonannya mengutip jutaan ringgit.

Bayaran pelakon adalah bersifat one off. Kami akan ditawarkan dengan harga tertentu untuk terlibat di dalam sesebuah filem.

Ada tawar menawar sehingga bertemu di satu titik yang dipersetujui oleh ke dua-dua pihak dan apabila kontrak ditandatangani itulah bayaran yang kami terima.

Tak mudah untuk pelakon minta profit sharing

Ada juga yang bertanya “kenapa tak minta profit sharing?” Sebenarnya tak semudah itu.

Bagi pelakon yang benar benar popular, di mana penerbit betul-betul mahukannya kerana dianggap dapat melariskan filem mereka tetapi tidak mampu membayar dengan harga yang tinggi, mereka akan meminta profit sharing.

Penerbit terpaksa akur kerana mahukan filemnya mendapat sambutan tetapi ini sangat jarang berlaku kerana walaupun pelakon itu popular harga mereka tidaklah setinggi gunung yang buatkan penerbit filem komersial tak mampu bayar.

Sebagai pelakon keuntungan kami apabila sesebuah filem itu mengaut keuntungan, dan kami akan terus mendapat tawaran berlakon dari penerbit-penerbit filem.

Sebaliknya jika filem lakonan kami rugi penerbit-penerbit filem tidak lagi mahu menggunakan khidmat kami kerana pelakon dianggap sebagai daya tarikan untuk penonton datang ke panggung (walaupun hakikatnya tidak begitu).

Tapi ya lah bukan semua penerbit sebegitu ada juga penerbit yang membuat low budget movie akan mendatangi pelakon-pelakon yang dianggap tidak dapat menarik penonton ini untuk berkerjasama.

Sudah pasti dengan budget yang sedikit mereka tak mampu untuk mengikat kontrak pelakon-pelakon yang dapat menarik penonton ini.

Sedangkan pelakon yang tidak popular ini mereka boleh mendapatkan dengan harga yang murah.

Saya pula adalah jenis pelakon yang tak kisah. Ada juga penerbit-penerbit filem yang menghasilkan filem komersial mengambil saya untuk berlakon dalam filem mereka untuk watak-watak pembantu dan sampingan.

Dan, saya juga sering berkerja dengan penerbit-penerbit filem low budget untuk watak utama dan pembantu dengan harga yang tidak tinggi.

Namun untuk mendapat tawaran watak utama untuk filem komersial memang tak ada lah sebab saya tidak popular dan dianggap tidak boleh menarik penonton ke pawagam.

Baca juga: “Ada 500 kotak tak habis”- Ejen merungut inai Neelofa tak habis terjual, serik tak balik modal

Baca juga: Flashmob bantah barang naik: Mat Sabu dipanggil kali kedua rakam keterangan di balai

Baca juga: Wartawan China cuba bunuh diri lepas dikecam netizen, terlalu emosi ketika lapor kematian Shinzo Abe