Malaysia Dateline

Flashmob bantah barang naik: Mat Sabu dipanggil kali kedua rakam keterangan di balai

Presiden AMANAH, Mohamad sekali lagi dipanggil pihak polis untuk dirakam keterangan berhubung penyertaan beliau dalam flashmob yang membantah kenaikan harga barang pada 16 Julai lalu.

Ini merupakan siasatan kedua dalam tempoh seminggu selepas beliau dipanggil pada 19 Julai lalu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bukit Aman untuk diambil keterangan berkaitan video pra-flashmob harga barang.

Keterangan hari ini pula diambil di IPD Klang Selatan selama setengah jam dan beliau memberi kerjasama yang baik pada pihak polis.

“Dalam satu minggu, dua kali dipanggil pihak polis soal himpunan flashmob. Saya dah beri keterangan dan kerjasama pada polis. Siasatan pertama di Bukit Aman berhubung video penganjuran flashmob. Hari ini dipanggil atas penyertaan ke himpunan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

“Nampaknya setelah saya tak jadi menteri, saya kembali jadi pelanggan pihak polis,”ujarnya seloroh.

Sementara itu peguam yang mewakili Mat Sabu memaklumkan siasatan hari ini dilakukan atas Akta Himpunan Aman.

Sekurang-kurangnya 5 himpunan telah diadakan pelbagai pihak bagi membantah kenaikan harga barang yang bermula 1 Julai lalu.

Baca juga: Himpunan tuntut tangani kenaikan harga barang: 26 individu dipanggil polis hari ini

Baca juga: 5 himpunan bantah kenaikan harga barang, apa kesan pasukan jihad tangani inflasi Annuar Musa!

Baca juga: “Ada 500 kotak tak habis”- Ejen merungut inai Neelofa tak habis terjual, serik tak balik modal