Bilangan guru prasekolah perlu ditambah, tingkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak

Oleh NASUHA RAHMAN

Bilangan guru prasekolah perlu ditambah, tingkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran untuk menambah bilangan guru agar kelas prasekolah dapat dibuka di semua sekolah di bawah kementerian bagi menjamin penyertaan meluas semua kanak-kanak.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, usaha ini sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara.

“Setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing.

“Oleh sebab itu, KPM di bawah Pakatan Harapan berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak berusia 5 tahun ke atas di institusi pendidikan prasekolah yang dikendalikan oleh KPM,” katanya.

Bilangan guru prasekolah perlu ditambah, tingkatkan kualiti pendidikan awak kanak-kanak
Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching

Beliau berkata demikian bagi memberi respons terhadap jawapan bertulis daripada KPM yang menjelaskan graduan Sarjan Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak (ISMP PAKK) telah dilatih selain menjadi pendidik mereka terdedah dengan kemahiran keusahawanan dan boleh membina kerjaya sebagai pendidik dan juga usahawan.

Dalam soalan asal, Teo Nie Ching menyarankan KPM agar memastikan graduan program PAKK mendapat pekerjaan yang sesuai.

Menurut Nie Ching, pada tahun 2019, kelas prasekolah di institusi KPM telah meningkat dari 9,366 kelas ke 9,465 kelas, manakala kelas prasekolah terus meningkat ke 9,609 pada tahun 2020.

“Tetapi, bilangan kelas prasekolah tidak meningkat secara begitu mendadak selepas Langkah Sheraton. Pada tahun 2021, bilangan kelas prasekolah hanya meningkat ke 9,651,” katanya.

Tambahnya, enrolmen murid prasekolah juga telah merosot dari 207,737 orang murid pada tahun 2020 ke 200,143 orang murid pada tahun 2021.

“Satu kemerosotan yang amat membimbangkan,” ujarnya.

Oleh itu, Nie Ching menggesa KPM untuk terus memperkembang pendidikan prasekolah dengan menambah lagi kelas prasekolah di semua sekolah rendah di bawah KPM.

“…dan pada masa yang sama, memberi tawaran kepada ramai lagi graduan ISMP PAKK yang amat berminat untuk menjadi pendidik di KPM.

“Inilah usaha paling efektif untuk memastikan penyertaan sejagat dan enrolmen penuh dari peringkat prasekolah ke peringkat sekolah menengah atas,” katanya.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/tahun-lalu-rm15-hari-ini-harga-ayam-percik-rm25-seekor-ini-alasan-peniaga/

Baca juga: https://themalaysialife.com/cuti-raya-tahun-ini-paling-panjang-rakyat-malaysia-sudah-boleh-susun-cuti/