Malaysia Dateline

Gara-gara bimbang risiko keselamatan, kamera pengawasan keluaran China disekat di bangunan kerajaan

Bimbang risiko berkaitan keselamatan, kerajaan Britain mengarahkan jabatannya untuk menghentikan penggunaan kamera pengawasan keluaran China di bangunan sensitif.

Langkah itu diambil beberapa bulan selepas berpuluh-puluh penggubal undang-undang menggesa larangan penjualan dan penggunaan kamera keselamatan yang dibuat oleh dua firma China yang sebahagiannya milik kerajaan, Hikvision dan Dahua.

Menteri Pejabat Kabinet, Oliver Dowden dalam satu kenyataan bertulis kepada Parlimen berkata, keputusan itu dibuat selepas semakan semula ‘risiko keselamatan semasa dan bagi masa akan datang’ berkaitan pemasangan sistem pengawasan visual di bangunan kerajaan.

Arahan kerajaan Britain itu terpakai kepada kamera yang dikeluarkan oleh syarikat yang tertakluk kepada undang-undang keselamatan China itu.

Sebelum ini, wujud kebimbangan mengenai status produk syarikat itu yang dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi manusia di China.

Dalam pada itu, Hikvision, dalam satu kenyataan dipetik Reuters menafikan dakwaan itu dan sebaliknya berkata, ia akan terus berusaha berhubung dengan pihak berkuasa British bagi mendapatkan pengesahan lanjut mengenai keputusan berkenaan.

“Hikvision tidak boleh menghantar data daripada pengguna akhir kepada pihak ketiga, kami tidak mengurus pangkalan data pengguna akhir, dan kami juga tidak menjual storan awan di UK,” kata jurucakap syarikat itu.

Pejabat British Dahua bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang komen ketika dihubungi Reuters menerusi e-mel.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) pada 2019 sudah mengenakan sekatan perdagangan dan larangan penggunaan kamera keluaran Hikvision, Dahua dan firma China yang lain.

Kumpulan advokasi kerahsiaan peribadi, Big Brother Watch, pada Julai lalu memaklumkan majoriti badan awam Britain menggunakan kamera pengawasan yang dikeluarkan oleh Hikvision atau Dahua.

Baca juga Syampu apa Fahmi Reza guna?

Baca juga Waris Mahsuri bertandang ke Langkawi lagi