Malaysia Dateline

BN tak perlu nak sokong PH atau PN, kata MT Umno

Barisan Nasional (BN) yang kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak perlu terbabit dalam pembentukan kerajaan baharu oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, berkata, BN yang mempunyai 30 kerusi Parlimen sebaliknya perlu menjadi pembangkang.

Beliau pada masa sama berkata, PH dan PN perlu mendapatkan majoriti mudah iaitu 112 kerusi dan membuktikan sokongan itu kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

“Kita sebagai BN tak perlu nak sokong PH atau PN. Kita kekal pembangkang dan jadi semak dan imbang untuk rakyat.

“Sementara mereka berbalah untuk dapatkan majoriti, Yang di-Pertuan Agong boleh lantik kerajaan sementara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Armand, BN tidak perlu terbabit dalam pembentukan kerajaan PN atau PH kerana kedua-dua parti itu adalah musuh politik BN.

Kedua-dua blok itu juga, tambahnya lagi, pernah menghina BN berulang kali tetapi kini terpaksa mendapatkan sokongan BN untuk menubuhkan kerajaan.

Sebelum jam 2 petang ini, ketua-ketua parti politik yang mempunyai majoriti terbanyak perlu mengemukakan gabungan baharu dan calon Perdana Menteri kepada Istana Negara.

Hal itu dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Pada awal pagi 20 November, SPR memaklumkan tiada mana-mana parti politik memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15 untuk membentuk kerajaan.

Mengikut keputusan rasmi itu, PH memperoleh 76 kerusi, PN (51), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Pas (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam) dan Warisan (tiga).

Selain itu, Parti Ikatan Demokratik (Muda) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing satu dan Bebas, dua.

Baca juga Sabar, doakan yang terbaik, kata Anwar di tengah kecoh pembentukan kerajaan