Anda boleh dipenjara tiga bulan dan dikenakan denda sebanyak sejuta rupiah iaitu kira-kira RM302 jika didapati memberi wang kepada pengemis.
Itu hukuman oleh pihak berkuasa di Semarang, Jawa Tengah terhadap individu yang mungkin bersimpati dengan peminta sedekah dan gelandangan di jalan raya atau tempat awam lain.
Bagaimanapun, pihak berkuasa akan memberikan kefahaman kepada orang ramai sebelum peraturan tersebut dikuatkuasakan pada bulan depan di kota metropolitan terbesar kelima di Indonesia itu.
Sesi penerangan berkenaan undang-undang baharu itu akan dilakukan di kawasan tumpuan peminta sedekah dan gelandangan sekitar jalan raya bermula 15 hingga 30 September ini, lapor Kompas dipetik Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, pihak berkuasa di republik itu akan memberi latihan kepada gelandangan bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan supaya tidak lagi meminta sumbangan di tempat awam.
Sehubungan itu, penduduk Semarang dinasihatkan supaya menyalurkan bantuan wang tunai menerusi saluran yang betul seperti rumah kebajikan dan tempat ibadat.
Sementara itu, di Malaysia, kajian semakan Akta Orang-Orang Papa 1977 bagi menangani isu gelandangan dan pengemis dijangka siap pada September tahun depan.
Buat masa ini, tiada punca kuasa dan perundangan yang khusus dalam pengoperasian serta pengendalian golongan pengemis dan gelandangan di Malaysia.
Kelompangan akta berkaitan dalam membanteras aktiviti meminta wang tunai dikatakan menjadi antara punca Kuala Lumpur muncul sebagai ‘syurga’ pengemis.
Hal ini kerana akta sedia ada hanya bertujuan melindungi dan memulihkan golongan terbabit serta tidak mempunyai elemen penguatkuasaan, termasuk denda ke atas pengemis.
Baca juga Wanita bercangkung dapat duit, orang ramai kongsi sifat pemurah rakyat Malaysia
Baca juga Tiap bulan dapat bantuan miskin tegar JKM dan dikategori asnaf, tapi perangai kaki judi