Malaysia Dateline

Boleh ke puasa enam dan puasa ganti serentak? Ini penjelasannya

Bagi umat Islam, bulan syawal juga antara bulan yang berkah di mana mereka masih boleh menambah pahala dengan melakukan puasa enam atau berpuasa selama enam hari di bulan syawal.

Ini kerana, puasa enam hari sama seperti seseorang itu telah berpuasa selama setahun penuh.

Mungkin ada antara kita yang berniat puasa qada (ganti) dan puasa enam pada bulan Syawal secara serentak. Namun apa hukumnya di dalam Islam? Boleh atau tidak?

Boleh ke buat puasa enam dan puasa ganti serentak?

Saban tahun, persoalan menggabungkan puasa enam dengan puasa ganti kerap ditanya oleh saudara Islam kita. Bagi wanita khususnya, ramai yang inginkan kepastian sama ada ganti puasa boleh disekalikan dengan puasa enam.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada berkongsikan tentang perkara ini beberapa tahun lalu. Menurut pejabat mufti, hukum menggabungkan antara puasa wajib dengan puasa sunat adalah harus.

Meskipun diharuskan, menutut mazhab Syafie, ganjaran atau pahala puasa diperolehi kurang sempurna. Ini kerana ia lebih afdal dilakukan pada hari berlainan.

Mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal.

Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif.

Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak.

Baca juga: Penjawat awam Indonesia boleh kerja dari rumah selama seminggu lepas Aidilfitri

Baca juga: Tujuh sebab anda tidak boleh tengking anak