Malaysia Dateline

Buat ‘full marathon’ pun ramai tak tinggal solat Subuh – Ini pengalaman pelari KLSCM 2022

Ramai peserta ‘full marathon’ dilihat tetap menunaikan solat Subuh semasa acara larian terbesar negara, Kuala Lumpur Standard Charted Marathon (KLSCM) 2022 yang berlangsung di Dataran Merdeka, baru-baru ini.

Larian sejauh 42 km pada 13 November lalu bermula pukul 3.45 pagi dengan kesemua 10,493 peserta diberi tempoh paling lewat 7 jam 15 minit untuk tiba di garis penamat.

Pelari Kamarul Faizal menceritakan bagaimana peserta yang berseluar pendek pun mendirikan solat Subuh dengan memakai kain pelikat yang disediakan penganjur.

Ikuti tulisan penuh beliau:

Alhamdulillah seperti yang dirancang saya bersolat di km ke 19 di Lebuh Akleh. Pace 6 adalah kiraan untuk tiba pada jarak tersebut.

Surau mobil terletak sebelah menyebelah di laluan tol iaitu di km ke 15 dan 19. Selepas dari itu pace jatuh ke 7. Tidak mengapalah janji tamat sebelum COT. Kurang latihan beginilah jadinya.

Ada juga rakan – rakan yang bersolat di km ke 25 dan ada juga yang bersolat di km ke 34 dan 35. Ini semua pace 4 dan 5. Tahniah. Dalam kelajuan mengejar PB sempat lagi melaksanakan kewajipan.

Azan Subuh berkumandang sewaktu saya di km ke 18. Ketika menuju ke tol imam jemaah pertama telahpun memulakan solat.

Alhamdulillah ramai peserta FM muslim berhenti solat. Jumlah yang ramai menyebabkan sesi berwuduk dan ruang untuk bersolat terpaksa mengambil masa.

Usai mengambil solat saya terus menyertai imam jemaah kedua. Pun ramai juga. Ada juga yang bersolat sendirian tanpa imam.

Bagi yang berseluar pendek mereka ada juga membawa kain pelikat. Bagus setidaknya usaha untuk solat itu ada walaupun berlari tidak tutup aurat.

Memandangkan bilangan peserta lelaki lebih ramai, kurang kelihatan kelibat peserta muslimah bersolat. Lagipun bahagian muslimah ditiraikan dengan mengadang.

Apapun saya percaya bagi yang boleh bersolat mereka tetap melaksanakan kewajipan tersebut.

Dalam ribuan peserta bukan semuanya bersolat. Apapun diharapkan ganti semula solat yang sengaja tidak dibuat.

Solat antara ibadat yang tidak boleh orang lain laksanakan bagi pihak. Ia bukan seperti puasa atau haji yang boleh diganti dengan membayar fidyah atau dibadalkan.

Solat adalah ibadat yang pertama dihitung. Lulus solat dipertimbangkan untuk menilai ibadah lain. Gagal solat, segala ibadah lain gagal. Sangat berat kerana ianya adalah tiang seri kepada semua ibadah.

Tuan badannya sendiri kena gantikan solat tersebut. Nampak mudah solat 5 waktu tetapi sangat berat sebenarnya.

Jadi mana-mana yang sengaja tinggal atau batalnya solat sebelum ini wajib diqada’ sedaya atau semampu yang boleh.

Tahniah buat semua peserta FM SCKLM 2022. Tahniah juga kerana tidak mengabaikan solat. Pencapaian terbaik buat diri dalam bersukan tanpa mengabaikan kewajipan solat.

Baca juga Ajak dia yang menyalak ‘bersembang’? Ini 5 tips berdepan anjing yang cuba ‘sakat’ anda di jalanan

Baca juga PRU-15: Fahmi Fadzil tekad tidak ambil gaji jika dilantik dalam Kabinet