Malaysia Dateline

Bubar Parlimen: Antara musim banjir dan faktor Zahid

Akhirnya segala tanda tanya telah dijawab Parlimen telah dibubarkan. Kekalutan Umno bagaikan siri drama Jenaka Kampung Kalut (atau JKK) siaran di TV3, sembang-sembang di kedai Pak Kodi dan mesyuarat di dewan komuniti JKK dalam situasi penuh kekalutan.

Umno adalah parti yang kalut hendak mengadakan pilihan raya.

Kekalutan Umno terlihat dengan mesyuarat demi mesyuarat dan pertemuan demi pertemuan diadakan sama ada dengan ketua bahagian atau dengan adun seperti di Johor.

Mengapa Umno begitu kalut? Adakah pengalaman daripada faktor bencana pandemik yang telah memenangkan mereka di tiga buah negeri itu menjadi asas kepada harapan dapat memenangi PRU-15 lagi dengan kedatangan bencana banjir?
Tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas iaitu di Sabah, Melaka dan Johor berlaku dalam situasi pandemik Covid-19.

PRN di Sabah pada September 2020 telah membawa kemenangan Umno tetapi membawa peningkatan kes di Semenanjung yang sewaktu itu telah mengalami pengurangan dalam kes Covid-19.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 66.61 peratus. Walaupun pada peringkat awal mengsasarkan kepada 75 peratus dan kemudiannya keadaan kes yang semakin meningkat memperlihatkan penurunan peratusan undi kepada 70 peratus.

Antara faktor yang menyumbang kepada rendah peratusan ialah kesan pandemik Covid-19. Laporan peningkatan kes keseharian pada waktu itu menyebabkan pengundi takut untuk pulang mengundi. Ini mempengaruhi psikologi pengundi.
Dalam PRN Melaka pada November 2021, sebanyak 83.4% turun mengundi PRU14 namun jumlah tersebut turun mendadak ke 64.1% sahaja akibat kerisauan dengan wabak COVID dan letih dengan politik semasa.

Dalam PRN Johor Februari 2022, pula hanya 54.9 peratus pemilih turun mengundi. Berbanding tiga lagi PRN yang diadakan dalam tempoh dua tahun lalu, PRN Johor adalah yang paling rendah.

Dalam PRN Johor, faktor pandemik jatuh kepada nombor dua bagi pengundi Melayu tetapi bagi mereka yang bukan Melayu faktor jangkitan Covid-19 dan pembaziran wang antara sebab mereka enggan turun mengundi.
Oleh itu adakah kekalutan Umno yang hendak mengadakan pilihan raya umum pada tahun ini berdasarkan kepada kemenangannya pada musim bencana Covid-19 di mana peratusan keluar mengundi jauh berkurangan dalam kalangan rakyat terutamanya yang menyokong pembangkang.

Adakah dengan faktor ramalan kedatangan banjir menyebabkan Umno mengadakan pilihan raya supaya dapat menang dalam situasi bencana seperti yang telah dimenangi dalam PRN di tiga buah negeri?

Sukar untuj dipastikan tetapi laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (5 September 2022) METMALAYSIA meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan.

Namun terdapat kekeliruan kenyataan dengan dakwaan berlakunya hujan lebat berterusan mulai pertengahan November sehingga membawa kepada banjir besar penghujung bulan itu adalah tidak tepat. (Kosmo 15 September)

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia berikutan pihaknya tidak mempunyai kaedah tepat untuk meramalkan banjir lebih awal seperti yang hangat diperkatakan.

“Kita tidak nafikan episod hujan lebat itu akan berlaku tapi ramalan dua bulan lebih awal banjir besar berlaku (November) memang tak ada kaedah tepat.

” Tidak dinafikan kemungkinan itu ada, cuma di mana kawasan paling terjejas atau bila, kita tak tahu,” katanya.
Agak pelik mengapa kenyataan sudah berubah berhubung dengan ramalan banjir pada bulan November kepada tiba-tiba eadah yang digunakan tidak tepat.

Di samping itu antara faktor kekalutan Umno hendak mengadakan pilihan raya ialah kemungkinan undi Melayu yang menurun berikutan isu bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk penjara dan isu pendedahan rasuah isu pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Skandal LCS mula ‘terbongkar’ apabila PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, data ‘faktor kekalahan’ Umno itulah yang memaksa pemimpin tertinggi parti berkenaan memutuskan untuk menyegerakan PRU ke 15 biar pun dalam keadaan mengharung banjir hujung tahun ini.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli “Awal September lepas Najib check in dan kes LCS pecah, saya tengok saya tak percaya. Sebab saya buat survey sejak Jun 2016. Daripada 27% sokongan Melayu, lepas skandal LCS jatuh jadi 18 %.

“Itu maksudnya 9% jatuh. Kalau belajar sains pilihan raya dari dari 2013 ke 2018, 7% swing sahaja di kalangan pengundi Melayu menyebabkan jatuh kerajaan Umno,” katanya dalam ceramah Jelajah Trak Ayuh Malaysia Pulau Pinang. (Suara Keadian, 2 Oktober 2022)

Keadaan ini tentu memberikan situasi panik kepada Umno untuk segera mengadakan pilihan raya.

Faktor lain kenapa Umno memerlukan pembubaran parlimen ialah faktor Zahid sendiri.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang berhadapan dengan 47 pertuduhan yang dihadapi beliau membabitkan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi (YAB), esok.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan, bermula pada 13 dan 15 April, 23-26 Mei, 27-30 Jun, 1, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22 September serta 26-29 September, 17-20 dan 31 Oktober dan 1-3 dan 7-10 November.

Pada 24 Januari lepas, Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Zahid membela diri atas 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Bayangkan kes terakhir ialah 7-10 November adakah kes tersebut akan ditangguhkan.

Kita tidak tahu kedudukan dan keputusan kes ini tetapi ia akan terus mengurangkan undi Melayu dan menjejaskan nama Umno. Oleh itu pembubaran parlimen adalah penting bagi beliau.

Di samping itu Zahid sebagai presiden memerlukan kemenangan dalam pilihan raya ini sebagai membuktikan ketokohannya sebagai pemimpin parti Melayu utama.

Bagaimanapun ini adalah misi ‘do or die’ sekiranya Umno menang bererti masa depan yang cerah untuk beliau dan Umno dan jika kalah dalam pilihan raya kali ini, masa depan beliau sebagai pemimpin akan gelap dan parti Umno akan melalui laluan getir untuk bertahan dalam arus politik perdana.

Kolumnis adalah pensyarah Universiti Selangor

Baca juga: “Dulu gelakkan ayah pakai kancil 660, bulan lepas kereta H dia kena tarik tak bayar”-Dunia ini berputar

Baca juga: Pakatan Harapan sudah bersedia, mahu kembalikan keyakinan rakyat dalam PRU 15