Malaysia Dateline

Bufet Ramadan dedah sikap tamak, sate dibuang, dua pinggan lauk ketam tak berusik

Budaya berbuka puasa secara bufet Ramadan dilihat kembali rancak selepas dua tahun negara ‘berkurung’ lantaran pandemik Covid-19 tetapi sikap tamak sebahagian masyarakat kita juga terdedah.

Banyak makanan dibazirkan begitu sahaja selepas mengisi piring dan pinggan dalam jumlah makanan yang berlebihan.

Seorang pengguna Facebook, Mackaz Sajiaos Tan berkongsikan pemerhatiannya semalam berserta gambar menerusi laman Hotel Buffet Malaysia Promotion selepas menghadiri bufet Ramadan.

Beliau berasa sedih melihatkan baki hidangan makanan yang telah diambil tetapi ditinggalkan begitu sahaja di atas meja.

“Saya rasa sedih apabila habis bufet dan melalui meja-meja yang dah habis makan dan pulang rumah. 😭

“Makanan baki di meja masih ada banyak lagi. Ada 11 cucuk sate lagi di meja pun ada. Satu sate daging RM2 x 11 sudah RM22. Pinggan yang penuh dengan makanan,” katanya.

Sehubungan itu, Mackaz menasihatkan orang ramai agar tidak membazir begitu sahaja walaupun sudah membayar.

“Bila kita berbufet kenalah ajar anak-anak jangan ambil banyak banyak kalau tak habis.

“Entahlah. Tak tahu nak cakap apa lagi lah. Sakit hati tengok (pembaziran),” tambahnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook Suzy Effendi berkongsikan pengalamannya berbuka puasa secara bufet di sebuah restoran di Miri, Sarawak.

“Meja sebelah kami sebelum berbuka, mereka dah ambil makanan siap-siap. Tak kisah pun.
Yang kami sakit hati, mereka habiskan satu bekas bufet hidangan ketam untuk meja mereka sahaja!

“Berpinggan-pinggan macam cara berhidang. Tak silap ketam masak butter. Lauk lain jangan cakaplah,” ujarnya.

Akibatnya, kata Suzy, keluarganya yang lebih 10 orang ketika itu mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit.

“Sebab kami ambil air dan kuih dulu untuk berbuka. Jadi, kami ibarat ambil sisa mereka saja sebab memang tinggal sikit lepas berbuka tu.

“Lagi sakit hati, lepas mereka balik, dua pinggan ketam tak berusik. Tuan kedai sangat kecewa perangai tamak manusia macam ni.

“Berkali-kali dia minta maaf dengan keluarga kami,” katanya sambil memberitahu keluarga tamak itu hanya ada lima orang sahaja.

Baca ‘Kalau berbuka puasa ramai-ramai macam ini langgar SOP tak?’

Baca Tangan pijar sebab pegang cili, doktor kongsikan cara untuk hilangkannya