Malaysia Dateline

Bukan di PWTC, pemimpin Umno berkumpul di Wisma Perwira malam ini

Umno mengadakan pertemuan sekali lagi dengan Ahli Parlimen mereka di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Tekpi, Off Jalan Padang Tembak, di ibu negara, lapor Malaysiakini.

Bangunan yang dirasmikan Najib Razak pada 2015 ketika menjadi Perdana Menteri itu terletak kira-kira 6 kilometer dari Ibu Pejabat Umno di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC).

Pertemuan tertutup malam ini difahamkan dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas jemputan.

Perjumpaan pimpinan Umno itu susulan berakhirnya tempoh 14 hari kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memanggil sidang Parlimen.

Difahamkan juga, mesyuarat tersebut untuk meminta Zahid tidak membuat keputusan terburu-buru berkaitan penarikan Umno daripada PN.

Petang tadi, beberapa pimpinan tertinggi Umno berada di Ibu Pejabat Umno sejak tengah hari.

Pejabat Perdana Menteri pada tengah hari tadi juga mengeluarkan kenyataan bahawa Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Sementara itu, Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Pada 21 Jun lalu, Umno mendesak kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Ia susulan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu supaya sidang berkenaan dilaksanakan secepat mungkin.