Malaysia Dateline

“Bukan saya main politik, tapi keadaan tak bertambah baik walau penduduk buat aduan” – Chin Tong tempelak Onn Hafiz

Ketua Pembangkang Johor, Liew Chin Tong membalas semula kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang meluahkan rasa ‘jelak’ dan mendakwa Ahli Parlimen DAP itu bermain politik dalam isu rumah Flat Saujana.

Dilaporkan, Liew menerusi satu video sebelum ini mendedahkan bahawa tiada pihak yang mempedulikan keadaan Flat Saujana yang usang dan kotor walaupun hanya terletak satu kilometer dari kediaman rasmi MB Johor.

Menurut Liew, beliau kesal apabila Onn Hafiz menuduhnya bermain politik kerana beliau telah cuba melaksanakan apa yang terbaik untuk rakyat sebagai wakil rakyat.

Katanya, beliau telah mula mendengar tentang masalah bangunan dan kawasan Pangsapuri Bukit Saujana sewaktu berkempen dalam pilihan negeri Johor awal Mac lalu.

Loji pengolahan kumbahan yang rosak

Pada 3 Mac, beliau mengadakan dialog dengan penduduk pangsapuri itu bersama Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk mengetahui lebih mendalam masalah yang mereka hadapi.

“Selepas saya dipilih menjadi ADUN Perling, pejabat saya pada 18 Mac telah menerima aduan daripada penghuni Blok A pangsapuri tersebut berhubung masalah lif rosak. Saya segera menghubungi pihak kontraktor.

“Untuk meninjau keadaan di samping menyantuni warga pangsapuri, saya hadir dalam program anjuran pejabat ADUN Perling yang menyediakan bubur lambuk Ramadan serta kedai baju raya dan memberi sumbangan hari raya pada 22 April lalu,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Malah katanya, baru-baru ini pada 5 Jun, beliau bertemu dengan wakil penduduk dan Abid Mohd Yunos, pengurus Perbadanan Pengurusan Sri Panglima A, B dan C untuk terus berbincang bagi mengatasi masalah lif rosak yang berterusan dan juga masalah-masalah lain termasuk hos pemadam api yang tidak berfungsi, pagar yang usang dan unit-unit terbiar.

“Akhir sekali, saya juga telah menghantar soalan berkenaan dengan Pangsapuri Bukit Saujana ke Dewan Negeri Johor dan menunggu jawapan daripada EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan apabila Dewan mula bersidang minggu depan,” ujarnya.

5/6/22 Meninjau keadaan unit terbiar di Blok Sri Panglima A Pangsapuri Bukit Saujana

Menurutnya, pihak berkuasa telah lama mengetahui keadaan di sana kerana penduduk banyak kali memanjangkan aduan tetapi keadaan tidak menjadi lebih baik walaupun mantan Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin sendiri pernah membuat lawatan kerja.

“Saya kesal MB Datuk Onn Hafiz menuduh saya main politik apabila saya cuba laksanakan apa yang terbaik untuk rakyat sebagai wakil rakyat. Saya harap dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan kepentingan rakyat diutamakan,” katanya lagi.

Baca juga: “Hak wanita semakin mundur” – Amber Heard balas lepas dapat tahu Johnny Depp buka akaun TikTok

Baca juga: Demi kejar view, lelaki mohon maaf buat content tanpa kebenaran di zoo